MIRI, 5 November: Tiga projek menaik taraf sistem perparitan di kawasan Piasau sedang dilaksanakan bagi menangani masalah saliran yang semakin usang, sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat, khususnya di kawasan kediaman.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting berkata, projek berkenaan melibatkan kerja penambahbaikan sistem perparitan sedia ada, termasuk dua projek yang dibiayai menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Menurutnya, satu daripada projek tersebut melibatkan kerja menaik taraf longkang konkrit bertetulang di sepanjang Jalan Lautan 1 dan Jalan Lautan 4, Ocean Park, dengan peruntukan RM150,000 di bawah RTP 2025.
Projek yang dilaksanakan oleh Canaan Enterprise itu merangkumi kerja perparitan sepanjang 122 meter, termasuk menaik taraf pembetung.
Katanya, projek berkenaan diserahkan kepada kontraktor pada 21 September lalu dan dijadualkan siap pada 20 Disember ini.

Bagaimanapun, setakat 4 November, kemajuan fizikal projek hanya mencapai 35 peratus berbanding sasaran 50 peratus.
Ting berkata, walaupun projek itu mengalami kelewatan, usaha sedang dilakukan bagi mempercepat pelaksanaan kerja supaya dapat disiapkan mengikut jadual.
Sementara itu, satu lagi projek bernilai RM7,000 melibatkan kerja perparitan sepanjang 76 meter yang dijadualkan siap pada 1 Januari 2027.
Menurutnya, projek tersebut turut mengalami kelewatan kira-kira tiga peratus berbanding jadual asal, namun kontraktor sedang berusaha mempercepat kerja yang dilaksanakan.
Dalam pada itu, satu lagi projek bernilai RM100,000 di bawah RTP 2026 turut dilaksanakan bagi menaik taraf longkang konkrit bertetulang sedia ada di sepanjang Jalan Lautan 1 dan Jalan Lautan 4, Ocean Park.
Projek berkenaan diserahkan kepada kontraktor pada 22 Oktober lalu dan dijadualkan siap pada 21 Januari 2027.
Setakat ini, kemajuan fizikalnya mencapai lima peratus berbanding sasaran lapan peratus.
Mengulas lanjut, Ting berkata, usaha menaik taraf sistem perparitan yang semakin usang menjadi antara keutamaannya sejak sedekad lalu, terutama di kawasan yang sering mengalami masalah saliran ketika hujan lebat.
Katanya, keadaan di kebanyakan kawasan menunjukkan peningkatan ketara susulan pelaksanaan projek naik taraf, namun masih terdapat beberapa lokasi yang memerlukan perhatian.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan sesetengah projek mengambil masa lebih panjang berikutan isu berkaitan tanah yang memerlukan perbincangan dan kerjasama pemilik tanah sebelum kerja dapat diteruskan.
Menyentuh masalah banjir kilat di pusat bandar Miri, Ting berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan penduduk serta pihak berkuasa berkaitan bagi merangka pelan induk sistem perparitan yang lebih menyeluruh.
Menurutnya, pelan tersebut perlu mengambil kira keperluan jangka panjang dengan pelaksanaan secara berperingkat bagi tempoh lima, 10 dan 15 tahun untuk menangani masalah saliran bandar secara sistematik.
“Setiap kali hujan, penduduk berasa tidak selesa. Ada yang tidak dapat tidur dengan tenang kerana bimbang akan berlaku banjir,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan kerjasama semua pihak dalam mengenal pasti penyelesaian praktikal bagi memastikan usaha menaik taraf sistem perparitan dapat dilaksanakan secara berperingkat dan berkesan.




