
KUCHING: Situasi geopolitik di Asia Barat yang berpanjangan serta kenaikan harga tiket penerbangan global berkemungkinan memberi kesan terhadap kehadiran pengunjung ke Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF) 2026.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kenaikan kos tambang udara itu turut dipengaruhi kesan rantaian konflik antarabangsa yang memberi tekanan kepada industri penerbangan.
“Kita ini berada di pulau. Satu-satunya akses ke Sarawak adalah melalui udara. Saya akui harga tiket penerbangan telah meningkat dan ini sudah tentu memberi kesan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sidang Kemuncak Belia Hutan Hujan (RAYS) 2026, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Dr Sharzede Salleh Askor berkata jualan tiket RWMF 2026 masih didominasi pelancong dari rantau Asia Tenggara.
“Kita menerima ramai pengunjung dari Singapura dan Brunei, serta jumlah yang baik dari Semenanjung Malaysia. Pelancong dari Eropah tidak ramai tahun ini, namun Australia menunjukkan angka yang memberangsangkan,” katanya.
Beliau berkata pakej pelancongan yang ditawarkan bersama Malaysia Aviation Group turut membantu merancakkan kehadiran pelancong antarabangsa ke festival berkenaan.
Walaupun berdepan cabaran kenaikan kos perjalanan udara, festival berprestij itu dijangka terus menarik kehadiran pengunjung tempatan dan antarabangsa yang ingin menikmati pengalaman muzik serta budaya yang unik di Sarawak.
Oleh Norman B