
TANJUNG MANIS: Selepas lebih tujuh bulan menunggu sejak seorang nelayan menemui objek yang dipercayai sebagai muntah paus atau ambergris di perairan Kuala Belawai pada 10 November 2025, identiti sebenar bahan tersebut masih belum dapat dipastikan berdasarkan analisis saintifik yang dijalankan.
Keputusan itu diperoleh hasil analisis makmal yang dilaksanakan melalui kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ke atas sampel bahan berkenaan yang sebelum ini mencetuskan perhatian meluas masyarakat di seluruh negeri.
Penemuan objek tersebut oleh nelayan Kampung Lot Baru Belawai, Semawi Mantali, pernah menjadi tular selepas bahan terapung tersebut dipercayai mempunyai ciri-ciri menyerupai ambergris, iaitu bahan yang sering dikaitkan dengan paus sperma dan mempunyai nilai tinggi di pasaran antarabangsa.
Susulan penemuan itu, sampel bahan berkenaan telah dihantar untuk analisis saintifik bagi menentukan asal-usul serta identiti sebenar objek yang ditemui.
Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkata, berdasarkan analisis makmal yang dijalankan ke atas lapan sub-sampel bahan yang dirujuk sebagai SW01, ekstraksi DNA berjaya menghasilkan kuantiti DNA yang boleh dikesan.
“Bagaimanapun, ujian amplifikasi gen ‘mitokondria cytochrome b’ melalui kaedah PCR tidak menunjukkan sebarang produk amplifikasi yang berjaya.
“Keputusan ini menunjukkan bahawa kualiti dan ketulenan DNA yang diekstrak adalah tidak mencukupi untuk tujuan pengenalpastian spesies menggunakan pendekatan PCR konvensional,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Katanya, beberapa faktor berkemungkinan mempengaruhi keberkesanan proses amplifikasi tersebut termasuk sifat fizikal bahan yang berlilin, kemungkinan degradasi DNA dan kehadiran perencat PCR.
“Faktor seperti sifat fizikal bahan yang berlilin, kemungkinan degradasi DNA dan kehadiran perencat PCR berkemungkinan telah mempengaruhi keberkesanan proses amplifikasi.
“Sehubungan dengan itu, pengenalpastian spesies bagi sampel yang dianalisis tidak dapat ditentukan melalui kaedah yang digunakan dalam kajian ini,” katanya.

Secara ringkasnya, keputusan analisis tersebut tidak dapat mengesahkan sama ada bahan yang ditemui di Kuala Belawai itu berasal daripada paus sperma atau mana-mana spesies lain kerana bukti genetik yang diperoleh tidak mencukupi untuk tujuan pengesahan saintifik.
Abang Arabi berkata, bagi meningkatkan kebarangkalian kejayaan analisis pada masa hadapan, pendekatan alternatif menggunakan teknologi yang lebih maju adalah disyorkan.
“Bagi meningkatkan kebarangkalian kejayaan analisis pada masa hadapan, pendekatan alternatif seperti analisis kimia menggunakan GC-MS atau teknologi penjujukan generasi baharu (NGS) adalah disyorkan,” katanya.
Ambergris merupakan bahan berlilin yang sangat jarang ditemui dan lazimnya dikaitkan dengan sistem pencernaan paus sperma (Physeter macrocephalus).
Bahan tersebut amat bernilai dalam industri minyak wangi kerana kemampuannya mengekalkan aroma dalam tempoh yang lama.
Penemuan objek yang didakwa sebagai muntah paus pada November tahun lalu pernah mencetuskan pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan bahawa nilainya boleh mencecah ratusan ribu ringgit sekiranya disahkan sebagai ambergris tulen.
Namun selepas lebih tujuh bulan menunggu, analisis saintifik yang dijalankan setakat ini masih belum dapat memberikan jawapan muktamad mengenai identiti sebenar objek tersebut.
Bagi komuniti saintifik, keputusan itu menunjukkan bahawa proses mengenal pasti sesuatu bahan marin luar biasa memerlukan penelitian teliti serta penggunaan kaedah analisis yang bersesuaian.
Bagi masyarakat pula, ia menjadi peringatan bahawa pengesahan saintifik memerlukan bukti yang kukuh dan tidak boleh bergantung kepada pemerhatian fizikal semata-mata.
Walaupun misteri objek yang ditemui di Kuala Belawai itu masih belum terungkai sepenuhnya, hasil analisis tersebut sekurang-kurangnya telah memberikan gambaran lebih jelas mengenai cabaran saintifik yang dihadapi dalam usaha merungkai identiti sebenar bahan berkenaan.
Oleh Earl Anek