
LOS ANGELES: Bintang Amerika Syarikat (AS), Christian Pulisic, menepis kebimbangan mengenai kecederaannya selepas dikeluarkan pada separuh masa dalam kemenangan 4-1 ke atas Paraguay pada aksi pembukaan Piala Dunia, dengan menjelaskan tindakan itu hanyalah sebagai langkah berjaga-jaga.
“Saya cuma menerima sedikit hentakan pada separuh masa pertama, jadi saya benar-benar berharap ia bukan sesuatu yang serius. Hari ini saya hanya mengambil sedikit langkah berjaga-jaga, tetapi saya berharap akan kembali pulih dalam beberapa hari lagi,” kata Pulisic kepada wartawan.
Penyerang AC Milan itu merupakan tonggak utama skuad AS, memikul harapan besar negara itu ketika mereka berusaha mencipta sejarah dengan melangkah jauh dalam Piala Dunia yang menyaksikan semua perlawanan mereka berlangsung di laman sendiri.
Pulisic menjadi ancaman berterusan dalam aksi cemerlang separuh masa pertama, menyumbang satu bantuan gol selain membantu menghasilkan gol sendiri Paraguay menerusi gerakan satu-dua yang bijak bersama Weston McKennie.
Bagaimanapun, beliau dikeluarkan selepas tamat separuh masa pertama dan kemudian memberitahu media bahawa beliau mengalami hentakan di bahagian belakang kakinya.
“Ia di sekitar kawasan betis kiri saya. Saya pernah mengalami perkara yang sama sebelum ini… saya kekal positif. Saya tidak fikir ia sesuatu yang serius,” katanya.
Ketua jurulatih AS, Mauricio Pochettino, turut menjelaskan bahawa pemain itu dikeluarkan kerana pasukan tidak mahu mengambil sebarang risiko.
“Dia menerima satu hentakan sebelum ini juga ketika sesi latihan. Kami berharap ia bukan masalah besar. Apabila tamat separuh masa pertama, dia tidak dapat berjalan dengan baik.
“Kami berharap dia akan bersedia untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Selepas kemenangan meyakinkan itu, AS akan berdepan Australia pada Jumaat sebelum menentang Turkiye minggu berikutnya.
“Ia permulaan yang luar biasa, tetapi masih banyak yang perlu kami lakukan,” kata Pulisic. – AFP