
KOTA SAMARAHAN: “Duit boleh dicari, tetapi ibu tidak boleh diganti”, Pegangan itulah yang mendorong Rabiatul Nabilah Rizan, 24, meninggalkan pekerjaan di Johor dan pulang ke Sarawak demi menjaga ibunya yang disahkan menghidap ketumbuhan di kepala pada awal tahun ini.
Sebagai anak sulung perempuan, beliau memilih untuk berada di sisi ibunya ketika berdepan ujian paling sukar dalam hidup.
Baginya, kehilangan pekerjaan bukanlah perkara yang paling menyedihkan, sebaliknya penyesalan kerana tidak dapat menjaga ibu ketika sakit adalah sesuatu yang tidak sanggup ditanggung.
Sebelum ini, Rabiatul pernah mengusahakan perniagaan popia carbonara, namun perniagaan tersebut terpaksa ditutup akibat kekangan kewangan dan kurang sambutan pelanggan.

Kegagalan itu memaksanya berhijrah ke Semenanjung bagi mencari sumber pendapatan yang lebih stabil.
Namun, ketika kehidupan mula kembali teratur, beliau sekali lagi diuji apabila ibunya kerap keluar masuk hospital sebelum disahkan menghidap ketumbuhan otak dan perlu menjalani pembedahan.
Tanpa berfikir panjang, beliau mengambil keputusan meninggalkan kerjaya yang dibina dan pulang ke Sarawak.
Dengan wang simpanan yang ada, beliau bersama suami membuka perkhidmatan mencuci kenderaan secara kecil-kecilan di hadapan rumah ibu mentuanya di Kota Samarahan.

Dalam usaha menambah pendapatan, beliau turut menghidupkan semula perniagaan popia carbonara serta menawarkan perkhidmatan penghantar.
Setiap hari, masanya diisi dengan mencari rezeki sambil menguruskan ibu yang masih memerlukan perhatian dan pemantauan rapi selepas menjalani pembedahan.
Menurutnya, kehidupan yang dilalui kini menuntut pengorbanan besar kerana beliau perlu membahagikan masa antara perniagaan, keluarga dan tanggungjawab menjaga ibu yang sedang berjuang untuk sembuh.
Beliau mengakui pernah berdepan saat-saat sukar apabila perniagaan kurang mendapat sambutan dan kewangan semakin terhimpit.

Malah, ada ketika beliau hampir berputus asa kerana merasakan dirinya tidak mampu lagi meneruskan segala tanggungjawab yang dipikul.
Namun, doa seorang ibu, sokongan suami dan ahli keluarga menjadi sumber kekuatan untuk terus bertahan.
Baginya, setiap cabaran yang dilalui hari ini adalah sebahagian daripada perjalanan hidup yang perlu ditempuh dengan sabar dan penuh keikhlasan.
Walaupun perniagaan mencuci kenderaan secara kecil-kecilan yang diusahakan hanya beroperasi di bawah kanopi di hadapan rumah, beliau tetap menitikberatkan aspek kualiti perkhidmatan dan kepuasan pelanggan.

Begitu juga dengan popia carbonara yang dihasilkannya, yang sentiasa diberi perhatian dari segi kebersihan dan mutu penyediaan.
Bagi Rabiatul, pengalaman menjaga ibu yang sakit mengajarnya erti pengorbanan, kesyukuran dan menghargai masa bersama insan tersayang.
Beliau berharap suatu hari nanti dapat mengembangkan perniagaannya, memiliki premis sendiri dan merealisasikan impian terbesar untuk membawa ibunya menunaikan ibadah di Tanah Suci.
Katanya, walau sebesar mana ujian yang dihadapi, anak-anak tidak seharusnya mengabaikan ibu bapa yang sedang uzur kerana kasih sayang mereka adalah anugerah yang tidak mampu diganti dengan apa jua nilai harta dan wang ringgit.
Oleh Norman B