SONG, 6 November: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Song terus memperkukuh usaha pencegahan jenayah menerusi pelaksanaan Operasi Bersepadu Cegah Jenayah di sekitar Pekan Song dan Jalan Temalat, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Song DSP Benedict Faris Jimoy berkata, operasi itu merupakan antara inisiatif berterusan IPD Song dalam meningkatkan tahap keselamatan awam menerusi rondaan, pemeriksaan serta kehadiran polis secara berterusan di kawasan tumpuan masyarakat.
“Operasi dan program seperti ini dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara, di samping meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kehadiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi berkenaan diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Inspektor Lucy Ronald Jubang, dengan kekuatan 18 Pegawai Rendah Polis (PRP) daripada pelbagai cawangan dan bahagian.
Selain memberi tumpuan kepada pencegahan jenayah harta benda, operasi itu turut melibatkan pemeriksaan terhadap individu dan kenderaan yang mencurigakan, penguatkuasaan kesalahan lalu lintas serta usaha mengesan individu yang dikehendaki pihak berkuasa.
Pada masa sama, anggota polis turut mendekati komuniti setempat menerusi sesi penerangan mengenai penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), pengedaran risalah berkaitan pendaftaran VSP dan trend jenayah komersial terkini, selain hebahan mengenai Pusat Respons Penipuan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bagi membantu orang ramai mendapatkan bantuan berkaitan kes penipuan.
Peniaga dan pelanggan di Pekan Song turut diberi nasihat mengenai langkah keselamatan, termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi meningkatkan tahap keselamatan premis masing-masing.
Sepanjang operasi itu, sebanyak 49 individu dan 38 kenderaan diperiksa, manakala lima saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Selain itu, dua ahli baharu berjaya didaftarkan sebagai pengguna aplikasi VSP.
Menurut Benedict, kehadiran polis di lapangan menerima maklum balas positif daripada peniaga dan penduduk setempat yang menyambut baik usaha berterusan PDRM dalam menjaga keselamatan komuniti.
“Kerjasama erat antara polis dan masyarakat amat penting dalam memastikan jenayah dapat dicegah serta ditangani dengan lebih berkesan. Justeru, program seumpama ini akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa,” katanya.
Operasi itu berlangsung dalam keadaan cuaca baik dan keseluruhan aktiviti berjalan lancar, aman serta teratur.




