KOTA SAMARAHAN, 6 November: Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Ke-30 yang melabuhkan tirainya semalam menandakan permulaan lembaran baharu buat para graduan untuk melangkah ke fasa kehidupan seterusnya, berbekalkan ilmu pengetahuan, pengalaman dan kenangan berharga sepanjang tempoh pengajian.
Setiap pelajar masing-masing membawa pulang sesuatu perkara yang berharga, sama ada ilmu pengetahuan, pengalaman mahupun kenangan.
Menurut Graduan Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Strategik) dengan kepujian, Debbie Novina Cassandra John, beliau menyifatkan perjalanan ijazahnya penuh dengan emosi yang pasang surut.
“Pengalaman yang sedih dan pahit ini juga telah membentuk keperibadian diri saya sekarang,” katanya apabila ditemu bual Utusan Sarawak pada Majlis Apresiasi dan Penghargaan Graduan bertempat di Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi Unimas.
Dalam pada itu, graduan yang berusia 24 tahun ini juga berkata cabaran untuk menyeimbangkan akademik dan kokurikulum turut menyumbang kepada perjalanan ijazahnya.
“Saya berasa tidak percaya apabila telah berjaya merangkul Anugerah Siswi Cemerlang Persatuan Siswazah Wanita 2026 dan Anugerah Bitara Akademik pada tahun yang sama,” katanya lagi.
Sehubungan itu, mahasiswi kelahiran Sabah ini turut berpesan kepada pelajar yang masih meneruskan pengajian untuk tidak berputus asa.
Menurutnya lagi, pelajar mestilah keluar dari zon selesa untuk mengembangkan potensi diri.
“Dengan mencabar diri sendiri, kita akan tahu sejauh mana kemampuan diri masing-masing,” katanya.
Sementara itu, pemenang Anugerah Citra Lestari, Marlene Ram Bonnie, 24, berkata Unimas merupakan medan latihan yang menyumbang kepada perkembangan dirinya.

“Sejak dari tahun pertama pengajian sehingga tamat, Unimas telah banyak mempertingkatkan kebolehan diri saya terutama dalam bidang kepimpinan.
“Terdahulu, saya lebih gemar bergerak sendiri tetapi tempoh empat tahun pengajian mendidik diri saya untuk lebih bekerjasama,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau turut menyifatkan sikap bekerjasama merupakan sifat seorang pemimpin yang baik.
Dalam pada itu, Marlene turut berkongsi pengalaman yang berharga sepanjang memimpin pasukan dalam sebuah projek tahun akhir di Unimas.
Menurutnya lagi, projek komuniti bersama Murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Temenggong memberikan impak yang mendalam kepada dirinya.
“Projek itu bertujuan untuk membantu pelajar PPKI belajar dalam suasana yang kondusif dan ceria,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau turut berkongsi cara untuk membahagikan masa dari segi akademik dan kokurikulum.
Menurutnya, membuat catatan yang teratur amat membantu dalam memudahkan urusan hariannya.
“Jadual yang teratur dan sistematik mestilah dibuat agar tidak terlepas apa-apa perkara yang penting sekali gus dapat memanfaatkan masa yang terluang.
“Jangan lupa untuk menggunakan bantuan kecerdasan buatan (A.I) kerana ia mampu memudahkan urusan anda juga,” katanya lagi.
Oleh Adibfahmy





