KOTA SAMARAHAN, 3 November: Seorang graduan Bumiputera dan seorang graduan bukan Bumiputera masing-masing menerima Anugerah Graduan Cemerlang Yayasan Sarawak sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik serta usaha mereka sepanjang pengajian.
Mohd Saiffuddin Abdullah, graduan Fakulti Alam Bina, dan Sharon Leong Hui Jiun, graduan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, masing-masing menerima insentif RM2,000 menerusi anugerah berkenaan.

Mohd Saiffuddin yang berasal dari Bintulu berkata, beliau bersyukur atas pengiktirafan itu selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh pengajian, khususnya dalam menguruskan masa antara tuntutan akademik dengan aktiviti luar bilik kuliah.
Menurutnya, penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti universiti menuntutnya untuk lebih bijak menyusun jadual supaya kedua-dua komitmen dapat dilaksanakan dengan baik.
Beliau turut menyifatkan bantuan Yayasan Sarawak sebagai sesuatu yang bermakna kerana dapat mengurangkan beban kewangan keluarganya, sekali gus memberikan motivasi untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
“Sejujurnya, saya pernah memikirkan soal kewangan kerana berasal daripada keluarga yang berpendapatan sederhana. Bantuan ini dapat membantu mengurangkan beban keluarga saya,” katanya.
Mengulas perancangannya selepas tamat pengajian, Mohd Saiffuddin berkata beliau berhasrat menyumbangkan kemahiran dan pengalamannya dalam bidang ukur bahan kepada pembangunan Sarawak.
Sementara itu, Sharon, 24, yang memperoleh PNGK 3.99, berkata perjalanan pengajiannya bukan sesuatu yang mudah, terutama ketika perlu mengimbangi tuntutan akademik dengan aktiviti kokurikulum.
Beliau berkata, sokongan keluarga, rakan-rakan dan pensyarah menjadi antara faktor penting yang membantunya mengharungi pelbagai cabaran sepanjang pengajian.
Sharon turut mengakui pernah mengalami tekanan sehingga beberapa kali berdepan detik sukar, namun berusaha mengenal pasti punca masalah sebelum mencari jalan penyelesaian.
Beliau menyifatkan inisiatif pendidikan percuma sebagai peluang baik khususnya kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk mendapatkan akses kepada pendidikan tinggi.
Mengulas pesanan kepada generasi muda, Sharon mengingatkan pelajar supaya sentiasa yakin dengan kemampuan diri, tidak membandingkan perjalanan masing-masing dengan orang lain serta kekal berdisiplin dan konsisten dalam usaha mencapai kejayaan.
“Sentiasa percaya kepada diri sendiri dan jangan memandang rendah kemampuan diri kerana kita sendiri tidak tahu sejauh mana kita mampu pergi dan apa yang boleh kita capai,” katanya.
Oleh Adele Rissa & Norman B




