Eksklusif: Inovasi Lettuboost raih pengiktirafan antarabangsa menerusi emas Alibaba.com

Facebook
WhatsApp
NEIL Erickson Nelyson ketika ditemu bual Utusan Sarawak pada Majlis Konvokesyen Unimas Ke-30 di Kota Samarahan, hari ini. Foto Nadya Victoria

KOTA SAMARAHAN, 3 November: Inovasi tiga graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menerusi Lettuboost yang mengubah keladi bunting kepada makanan ikan berjaya meraih pengiktirafan antarabangsa selepas memenangi Anugerah Emas dalam pertandingan Alibaba.com CoCreate Pitch 2026.

Kejayaan itu sekali gus mengangkat potensi inovasi berasaskan sumber tempatan untuk diketengahkan dalam industri akuakultur, selain membuktikan kemampuan graduan universiti tempatan menghasilkan penyelesaian yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Lettuboost, Neil Erickson Nelyson berkata, inisiatif itu bermula sebagai projek inovasi kecil ketika beliau bersama dua lagi pengasasnya, Mohammad Zulhilmi Abang Mohammad Reduan dan Pavithran Julieus Sudhave, masih menuntut di Unimas.

Neil ketika ditemui Utusan Sarawak pada Majlis Konvokesyen Unimas ke-30 di sini hari ini berkata, idea itu tercetus selepas mereka menyertai pertandingan inovasi di Fakulti Sains dan Teknologi Sumber universiti berkenaan dan berjaya meraih tempat pertama.

PRODUK makanan ikan inovasi Lettuboost yang dihasilkan menggunakan keladi bunting. Foto Neil Erickson Nelyson

Menurutnya, kejayaan awal itu mendorong mereka untuk terus mengembangkan projek berkenaan, termasuk menyertai International Biotechnology Competition di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2023 yang menyaksikan mereka meraih Anugerah Perak.

“Pada mulanya, Lettuboost hanyalah projek universiti yang menyeronokkan. Kami kemudian membuat satu janji sesama sendiri, jika berjaya memenangi pertandingan yang disertai di Unimas, kami akan menubuhkan sebuah syarikat.

“Apabila berjaya, kami menunaikan janji itu dan mula membangunkan Lettuboost sebagai sebuah syarikat pemula niaga,” katanya.

Menurutnya, Lettuboost mula beroperasi sebagai syarikat pemula niaga kira-kira setahun lalu dengan memberi tumpuan kepada pemprosesan keladi bunting, sejenis tumbuhan akuatik invasif yang sering dianggap sebagai sisa, untuk dijadikan makanan ikan yang diperkaya dengan selenium.

Pendekatan itu bukan sahaja bertujuan memanfaatkan sumber yang kurang digunakan, malah berpotensi menyediakan alternatif makanan ikan yang lebih mampan serta membantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan makanan ikan konvensional.

Inisiatif itu turut mengambil kira cabaran yang dihadapi penternak ikan berskala kecil, khususnya peningkatan kos makanan ikan yang boleh memberi kesan kepada kelangsungan operasi mereka.

Dalam usaha mengembangkan perniagaan, Neil berkata, sokongan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) turut membantu mereka mendapatkan pendedahan serta membina hubungan dengan pemain industri dan ekosistem perniagaan.

DARI kiri, Mohammad Zulhilmi Abang Mohammad Reduan, Pavithran Julieus Sudhave dan Neil Erickson Nelyson, tiga pengasas Lettuboost yang berjaya meraih Anugerah Emas dalam pertandingan Alibaba.com CoCreate Pitch 2026. Foto Neil Erickson Nelyson

Jelasnya, pendedahan tersebut membuka lebih banyak peluang kepada mereka untuk mengenali dunia perniagaan dan mengembangkan Lettuboost sebagai sebuah syarikat.

Usaha berterusan itu menyaksikan Lettuboost turut mencatat beberapa pencapaian lain, termasuk muncul juara Shell LiveWire National 2025 dan Borneo Intex Pitch 2.0, selain menduduki tempat keempat dalam LaunchX University Startup Competition.

Pencapaian terbaharu menerusi Alibaba.com CoCreate Pitch 2026 menjadi antara kejayaan terbesar mereka setakat ini apabila Lettuboost berjaya menempatkan diri dalam kalangan 10 finalis terbaik daripada lebih 2,000 penyertaan.

“Pertandingan Alibaba.com itu merupakan pertandingan di peringkat antarabangsa dan kami bersaing dengan lebih 2,000 syarikat pemula niaga sebelum berjaya disenarai pendek dan akhirnya memenanginya,” ujarnya.

Kejayaan itu turut membuka peluang kepada pasukan berkenaan untuk menyertai CoCreate Global Summit di London pada November ini, sekali gus memberi ruang untuk memperluas jaringan dan mengetengahkan inovasi mereka ke peringkat lebih luas.

Mengulas perancangan seterusnya, Neil berkata, pihaknya kini dalam proses menyediakan kemudahan pengeluaran berskala penuh bagi membolehkan Lettuboost memasuki pasaran.

Beliau berkata, sasaran jangka panjang mereka adalah untuk menjadikan Lettuboost antara pembekal makanan ikan yang terkemuka di Asia Tenggara, malah berpotensi berkembang ke pasaran global.

“Kami berharap Lettuboost dapat menjadi antara pembekal makanan ikan terbesar atau sekurang-kurangnya salah satu pembekal utama di Asia Tenggara,” katanya.

Sebagai pengasas muda yang datang daripada latar belakang bukan perniagaan, Neil turut melihat perjalanan membangunkan Lettuboost sebagai satu proses pembelajaran, khususnya dalam memahami pengurusan syarikat dan keperluan industri.

Beliau berharap kejayaan mereka dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai golongan muda untuk berani mengetengahkan idea serta menghasilkan inovasi yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.

Pencapaian Lettuboost itu turut mendapat perhatian Naib Canselor Unimas, Profesor Dato Dr Ahmad Hata Rasit, yang mengetengahkan kejayaan berkenaan dalam ucapannya pada Majlis Konvokesyen Unimas Ke-30.

Oleh Adele Rissa & Norman B.