
KUALA LUMPUR: Di sebalik populariti rotan dan buluh, kraf tangan lias kini muncul sebagai permata tersembunyi dari pedalaman Ulu Sugut, Ranau, Sabah yang bukan sahaja menjana ekonomi komuniti, malah menghidupkan semula khazanah tradisi yang hampir pupus.
Pengusaha kraf tangan lias Junisa Agang, 43, berkata keunikan lias, iaitu tumbuhan liar daripada keluarga palma kini menjadi tarikan selepas dibawa keluar dari zon selesa untuk diketengahkan pada Borneo Native Festival (BNF) 2026 di sini baru-baru ini.
Beliau berkata usaha yang bermula dengan hanya lima wanita pada tahun lepas kini berkembang kepada 80 peserta melibatkan lebih lima kampung di Ulu Sugut, sekali gus menjana pendapatan kepada komuniti setempat yang terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal dan belia.

“Di Sabah, pokok lias tidak asing bagi mereka namun di kebanyakan daerah, pokok ini sudah pupus. Kelebihan kepada kami di Ulu Sugut kerana masih mempunyai pokok lias,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menyedari pokok itu semakin sukar ditemukan, Junisa yang mewakili kumpulan wanita Ulu Sugut berkata mereka tekad memartabatkan produk lias bagi memastikan warisan tradisi masyarakat Dusun Tinagas tidak lenyap ditelan zaman.
Bercerita mengenai keistimewaan produk itu, Junisa berkata mereka kini menghasilkan kira-kira 30 jenis barangan termasuk beg tangan moden dan dompet tanpa meminggirkan rekaan tradisi Dusun Tinagas seperti basung (bakul), barait (beg galas) dan bubu (perangkap ikan).
Junisa berkata setiap produk merupakan sentuhan peribadi yang menuntut kesabaran tinggi sehingga ada sebuah beg tangan boleh memakan masa sehingga tiga hari untuk disiapkan, bergantung kepada tahap kerumitannya.
“Setiap rekaan beg hasil kreativiti mereka sendiri. Jadi kami ambil pendekatan untuk menjalani latihan jangka pendek selama tiga hari di Pusat Kraf Tangan Sabah di Keningau bagi meningkatkan kemahiran jahitan,” katanya.
Junisa berkata sebelum ini mereka hanya menerima tempahan kecil dari Singapura, namun penglibatan dalam BNF memberi ruang memperkenalkan produk itu kepada pelancong asing termasuk dari Kemboja dan China.
Sementara itu, dari bumi Kenyalang, produk rotan dan buluh pula menjadi denyut nadi bagi wanita rumah panjang di Nanga Sumpa, Lubok Antu, Sarawak.
Wakil Persatuan Kraftangan Nanga Sumpa Jani Muking, 49, berkata penyertaan pertama dalam BNF 2026 menerusi tajaan Sarawak Energy membuka lembaran baharu mempromosikan hasil seni komuniti itu kepada pengunjung dalam dan luar negara.
“Biasanya kami hanya menjual produk kraf tangan kepada pelancong yang berkunjung ke inap desa Nanga Sumpa tetapi menerusi BNF, kami bukan sahaja mempromosikan produk kraf tangan malah dapat memperkenalkan khazanah tradisi masyarakat Lubok Antu,” katanya.
Menurut Jani setiap unit kraf tangan seperti gaga (bakul), bemban (beg tangan), raga (bakul), seluk (bakul guna teknik ikatan) dan sintung (bakul rotan) yang dipamerkan dihasilkan kira-kira 30 wanita rumah panjang yang bertekad memastikan warisan nenek moyang tidak ditelan zaman.
BNF 2026 yang berlangsung di Pasar Seni dari 22 hingga 24 Mei lepas merupakan acara tahunan anjuran Persatuan Sukaseni Kuala Lumpur (Sukaseni) sempena sambutan Pesta Kaamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak. – Bernama