KUALA LUMPUR: Sebanyak tujuh titik panas (hotspot) dikesan di negara ini, iaitu lima di Sarawak dan dua di Sabah susulan kemerosotan kualiti udara di beberapa kawasan di Sarawak yang kini merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) semalam, sebanyak 226 titik panas dikesan di Kalimantan manakala lima di Sumatera.
Setakat 11.00 pagi tadi, sembilan kawasan di Sarawak mencatatkan IPU tidak sihat, dengan Kuching merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 164, diikuti Samarahan (161), IPD Serian (160), Bintulu dan Sarikei (157), Sri Aman (153), Sibu (152), Mukah (151) serta Samalaju (118).
“Kemerosotan kualiti udara itu disebabkan pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah termasuk kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga padat daripada kelompok hotspot di Kalimantan Barat yang bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat negeri berkenaan.
“Kepulan asap setempat sederhana hingga padat turut diperhatikan berpunca daripada hotspot di sebahagian besar Kalimantan, bahagian tengah Sarawak serta bahagian tengah Sumatera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata beberapa stesen pengawasan kualiti udara di Kalimantan Barat serta bahagian barat dan tengah Sarawak turut merekodkan bacaan tidak sihat.
Bagaimanapun, ASMC memaklumkan liputan penuh situasi hotspot dan jerebu di rantau berkenaan tidak dapat ditentukan berikutan litupan awan.
Susulan keadaan itu, Azuri Azizah berkata JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan berpotensi berlaku pembakaran terbuka selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka serta situasi jerebu,” katanya.
Beliau menasihatkan pemilik tanah supaya memantau kawasan yang mudah dan sering terbakar termasuk tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mengambil langkah mencegah pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab.
Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan sebarang kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerusi talian 999 atau talian bebas tol JAS 1-800-88-2727. – Bernama





