PPWS terus perkasa wanita luar bandar menerusi ilmu, kemahiran

Facebook
WhatsApp
DATUK Hasbi Habibollah bergambar bersama barisan kepimpinan PPWS pada majlis kesyukuran dan makan malam sempena sambutan Ulang Tahun PPWS ke-64 di Dewan Suarah Limbang, malam tadi.

LIMBANG: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) terus memainkan peranan penting dalam membimbing dan memperkasakan wanita, khususnya di kawasan luar bandar, bagi meningkatkan taraf hidup menerusi ilmu, kemahiran dan pendidikan asas.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sejak ditubuhkan pada 1962, PPWS memainkan peranan dalam mengangkat potensi wanita dalam pelbagai bidang, termasuk kemahiran yang dapat menyumbang kepada pembangunan keluarga dan masyarakat

Menurutnya, PPWS turut berperanan memupuk perpaduan, persefahaman dan persahabatan dalam kalangan masyarakat Sarawak tanpa mengira latar belakang agama, kaum mahupun fahaman politik.

“PPWS juga memainkan peranan menggilap serta membina potensi diri wanita supaya mampu memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

“Dari segi aktiviti sosioekonomi pula, PPWS membuka peluang kepada ahlinya untuk menjalankan program sosioekonomi, keusahawanan, pendidikan keluarga dan kesihatan,” katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran dan makan malam sempena sambutan Ulang Tahun PPWS ke-64 anjuran PPWS Daerah Limbang di Dewan Suarah Limbang, malam tadi.

Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, PPWS turut menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai matlamat selaras dengan pertubuhan itu.

Beliau optimis PPWS akan terus berusaha melahirkan pemimpin tempatan menerusi pelbagai aktiviti di bawah pertubuhan berkenaan, sekali gus menjadi wadah yang membanggakan kaum wanita di Sarawak.

Katanya, sejak penubuhannya sehingga kini, PPWS telah memainkan peranan besar dalam membimbing wanita, khususnya wanita luar bandar, ke arah kemajuan dalam bidang pendidikan selain melaksanakan pelbagai projek dan aktiviti bagi membantu mereka menjana pendapatan keluarga.

“Pencapaian dan keupayaan wanita Sarawak, khususnya di Limbang, semakin menyerlah dan memainkan peranan penting sebagai wadah untuk menyatukan serta memperkasakan usahawan wanita di Limbang,” katanya.

Turut hadir isteri Datuk Hasbi, Datin Elsi Marlisa Abdullah; Pengerusi PPWS Negeri, Dato Norhyati Mohd Ismail; Exco PPWS Cawangan Limbang/Lawas, Hamimah Hasbullah dan Jemilah Matasan; serta Pengerusi PPWS Daerah Limbang, Dayang Suridah Mohamad Superi.

Oleh Adeng Edrus

Seni tarian singa merentasi batas kaum

BINTULU: Seni tarian singa kini tidak lagi dilihat sebagai aktiviti yang terhad kepada masyarakat Cina apabila penyertaan golongan bukan Cina