SHAH ALAM: Kejayaan skuad taekwondo menyumbang dua pingat emas buat kontinjen Sarawak pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 diyakini mampu menyuntik motivasi kepada atlet negeri itu untuk meneruskan momentum kecemerlangan.
Ketua Kontinjen Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, berkata beberapa acara yang berlangsung hari ini turut dilihat mempunyai potensi untuk menambah koleksi emas Sarawak.
“Memang perancangan kita hari ini untuk mendapatkan pingat emas. Terima kasih kepada acara taekwondo dan sukan lain yang turut menyumbang pingat.


“Untuk esok, banyak lagi acara yang akan menawarkan pingat emas dan saya rasa kita akan dapat memenangi beberapa acara lagi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Sukma XXII dan Para Sukma Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi.
Majlis perasmian berkenaan disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Setakat ini, Sarawak mengumpul dua pingat emas dan tiga gangsa untuk berada di tangga ketujuh keseluruhan.
Skuad taekwondo turut berpeluang menambah satu lagi emas menerusi Pretty Amisha Amanda, pemenang emas pada edisi 2024, yang akan turun beraksi dalam kategori berat, manakala olahraga turut menjadi antara sandaran Sarawak dengan beberapa acara berpotensi menyumbang pingat apabila saingan bermula hari ini.
Oleh Shahrul Qaizat





