PETRA JAYA: Hujan lebat berserta angin kencang yang melanda beberapa kawasan di Petra Jaya dan Matang petang ini menyebabkan pokok tumbang dan atap premis diterbangkan angin.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di beberapa lokasi, termasuk sepanjang laluan dari Bulatan Kipali hingga ke Semarak Gita serta beberapa kawasan di Matang.
Keadaan cuaca berkenaan turut menyebabkan beberapa batang pokok tumbang, manakala tiupan angin kuat mengakibatkan atap di beberapa lokasi tercabut dan diterbangkan.

Hujan petang ini hadir selepas beberapa hari Sarawak berdepan keadaan cuaca panas dan kering dengan taburan hujan yang terhad, selain beberapa kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat akibat jerebu.
Orang ramai terutama pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan terjejas susulan risiko pokok atau dahan tumbang serta objek diterbangkan angin.
Setakat ini, belum dapat dipastikan jumlah keseluruhan lokasi terjejas serta sama ada terdapat kecederaan atau kerosakan lain akibat kejadian berkenaan.
Oleh Norman B.





