
KUCHING: Berpenampilan ala kumpulan pop moden, lima anak muda yang menggelarkan diri mereka The Next, kumpulan M-Pop lelaki pertama dari Sarawak ini mempunyai misi melangkaui keinginan sekadar mencipta nama dalam industri muzik tempatan.
Mereka mahu memperkenalkan budaya Sarawak di peringkat antarabangsa menerusi pendekatan unik, antaranya menggabungkan lima bahasa dalam lagu debut mereka bertajuk The Next yang dipersembahkan kepada umum pada 17 April lalu.
Dianggotai Mike Harris Eddie Kuwing atau Mikey, 21; Bryan Luna Rowland (Bryx, 20); Mohamad Fariz Izwan Sonny (Rizze, 19); Arthur Elvis Josh Magdalene (Elvis, 18) dan Nur Afif Azrai Zahin Norazi (Fiv, 17); identiti teras The Next terbentuk daripada pelbagai latar belakang etnik seperti Iban, Bidayuh, Melayu, Kenyah dan Cina.

Mengulas lagu debut mereka, kumpulan itu menyifatkan penggunaan bahasa Melayu, Inggeris, Iban, Bidayuh dan Korea dalam single pengenalan serta video muzik rasmi mereka sebagai identiti tersendiri yang membezakan The Next dengan kumpulan pop lain.
Menurut Elvis yang juga penerbit muzik, elemen bahasa etnik Sarawak sengaja dimasukkan bagi membawa budaya tempatan ke dalam arus muzik pop moden.
“Kita tak perlu mencedok keseluruhan metodologi K-pop. Sebaliknya kita harus berbangga dengan budaya Sarawak agar kita dapat tampilkan ia sebagai sesuatu yang baharu dalam industri muzik kita,” katanya kepada Bernama.
Bagi Bryx pula, penggunaan bahasa Iban dalam lagu mereka bukan sekadar gimik, sebaliknya sebahagian daripada misi untuk memperkenalkan budaya Sarawak kepada pendengar luar negara.
“Bahasa Iban dalam lirik ‘kami datai ari jauh meri salam bekelala’ yang bermaksud ‘kami datang dari jauh menghulurkan salam perkenalan’…. Walaupun orang luar sik tauk (tak faham) bahasa Iban, kamekorang (kami) harap sidak (mereka) boleh mula kenal bahasa dan budaya kita melalui lagu,” katanya.

The Next dibentuk daripada peserta yang melepasi uji bakat ‘Sarawak Got Talent’ sebelum menjalani latihan intensif selama hampir tiga tahun bermula 2023.
Sepanjang tempoh itu, mereka menjalani rutin latihan ala trainee K-pop termasuk sesi latihan tarian dan vokal hingga lapan jam sehari bersama-sama dengan penari latar.
Sementara itu anggota termuda, Fiv yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini, berkata cabaran utama ialah membahagikan masa antara pelajaran dan latihan kumpulan.
“Habis sekolah terus pergi training, lepas itu kalau ada kelas malam pergi kelas malam pula. Balik buat homework sampai pagi,” katanya.
Kumpulan itu sedang menyiapkan single rasmi mereka bertajuk Toxic Love yang dijadual dilancarkan hujung tahun ini selain merancang menghasilkan album mini dengan lima buah lagu pada tahun tahun depan termasuk bertemakan Hari Gawai dan hari raya.
The Next turut menanam impian untuk membawa identiti Sarawak ke pentas antarabangsa termasuk membuat persembahan pada acara besar seperti temasya Sukan SEA 2027. – Bernama