

KABONG: Lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam operasi khas Op Tapis yang dijalankan di sekitar Kabong, hari ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, operasi tersebut dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Khas Op Tapis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok sekitar 10.00 pagi hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, pasukan operasi yang diketuai oleh Inspektor Henry Muji telah menjalankan pemeriksaan terhadap seorang lelaki Melayu yang berada dalam keadaan mencurigakan sebelum menemukan beberapa paket dipercayai mengandungi dadah jenis syabu.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas beg silang milik suspek telah menjumpai lapan paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Saratok bagi tujuan siasatan lanjut termasuk menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” jelasnya.
DSP Mathew turut memaklumkan bahawa suspek yang berasal dari Kampung Alit, Kabong itu mempunyai enam rekod lampau membabitkan kesalahan berkaitan dadah dan jenayah lain termasuk curi serta ugutan jenayah.
Katanya, antara rekod lampau suspek ialah dua kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang telah dijatuhkan hukuman pada 2020 dan 2023, selain beberapa kes lain yang direkodkan sepanjang tahun 2024.
Kes tersebut kini dikendalikan oleh Sarjan Roselinda Utubesar dan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Oleh Adi Safarman