KABONG, 5 November: Seorang wanita tempatan berusia 27 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok kerana disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian tambah nilai dalam talian di sebuah kedai runcit di pekan ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan dilakukan kira-kira 3.22 petang menerusi satu operasi yang diketuai pegawai kanan polis bersama sepasukan anggota daripada BSJD IPD Saratok.
Menurutnya, wanita yang berasal dari Kapit itu ditahan ketika berada di kaunter dalam premis berkenaan dan dipercayai menjalankan aktiviti penjualan tambah nilai perjudian dalam talian.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku bertindak sebagai ejen jualan tambah nilai judi dalam talian di sekitar kedai runcit berkenaan.
“Suspek dipercayai mula menjalankan kegiatan tersebut sejak seminggu lalu, iaitu selepas mula bekerja di premis berkenaan, dengan menyasarkan pelanggan di sekitar pekan Kabong,” katanya dalam satu kenyataan.
DSP Mathew berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Redmi berwarna hitam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Tangkapan dan rampasan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan polis membanteras kegiatan perjudian haram, khususnya aktiviti perjudian dalam talian yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat.
Oleh Adi Safarman




