
SIBU: AZAM Sarawak terus memperkukuh komitmennya dalam agenda pembangunan belia dengan mengadakan kunjungan hormat ke Kolej Laila Taib sempena lawatan kerja di Sibu, hari ini.
Delegasi AZAM Sarawak yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ali Suhaili bersama pegawai kanan dan beberapa pegawai lain AZAM Sarawak telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Laila Taib, Eric Wong serta pegawai-pegawai institusi tersebut.
Pada sesi tersebut, pihak AZAM Sarawak turut diberikan penerangan mengenai latar belakang dan objektif penubuhan Kolej Laila Taib khususnya dalam menyediakan peluang pendidikan tinggi yang berkualiti dan mampu milik kepada anak-anak Sarawak, terutamanya golongan B40 dan masyarakat luar bandar.
Institusi tersebut juga memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi menerusi pendekatan pembelajaran yang lebih inklusif dan praktikal selaras dengan keperluan industri serta agenda pembangunan Sarawak masa kini.
Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama strategik dalam memperkasa pembangunan belia menerusi platform AZAM Young Souls (AYS), termasuk penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kepimpinan, komunikasi, kesukarelawanan dan inisiatif kemasyarakatan.
AZAM Sarawak turut berkongsi potensi kolaborasi menerusi AYS Toastmasters Club dan AYS sebagai platform pembangunan belia yang memberi fokus kepada pembinaan keyakinan diri, pengucapan awam, kepimpinan serta pembangunan bakat dalam kalangan belia Sarawak.
Menurut Ali Suhaili, penglibatan mahasiswa dalam aktiviti pembangunan diri dan komuniti amat penting dalam melahirkan generasi muda yang lebih progresif, aktif dan berkeyakinan.
“Mahasiswa mempunyai potensi besar untuk menjadi agen perubahan dalam masyarakat. Oleh itu, kerjasama bersama institusi pendidikan seperti Kolej Laila Taib amat penting bagi memastikan lebih ramai anak muda diberikan ruang untuk berkembang, membina keyakinan diri serta menyumbang kembali kepada komuniti dan negeri,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan yang dibawa oleh AZAM Sarawak kini memberi fokus kepada pembangunan belia melalui komunikasi digital, media sosial, platform podcast, pendedahan kepimpinan dan pembangunan bakat yang lebih dekat dengan generasi muda masa kini.
Kunjungan hormat tersebut turut membuka peluang kepada kerjasama masa depan melibatkan program pembangunan mahasiswa, latihan komunikasi, aktiviti kesukarelawanan belia serta pelbagai inisiatif komuniti yang boleh dilaksanakan bersama antara AZAM Sarawak dan Kolej Laila Taib.
Oleh Akun Giman