ROBAN, 16 November: Pengguna jalan raya yang melalui Jalan Ulu Sebetan, Roban dinasihatkan supaya lebih berhati-hati susulan kejadian tanah susur di bahagian tepi jalan utama menuju ke Rumah Panjang Ulu Sebetan, hari ini.
Kejadian itu dikesan selepas Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 10.50 pagi.

Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, seramai tiga anggota Skuad Charlie digerakkan ke lokasi sejurus menerima laporan berkenaan.
Menurutnya, anggota tiba di lokasi pada 11.12 pagi dan mendapati kejadian tanah susur benar-benar berlaku di bahagian tepi jalan utama berkenaan.
“Pasukan bertugas mengambil langkah keselamatan dengan memasang pita amaran di kawasan terjejas bagi memastikan pengguna jalan raya lebih berwaspada ketika melalui laluan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati jalan berkenaan masih boleh digunakan oleh kenderaan ringan, namun laluan itu berbahaya untuk dilalui kenderaan berat.
Operasi yang melibatkan tiga anggota APM itu selesai pada 11.20 pagi dengan keadaan di lokasi dilaporkan selamat dan terkawal.
Tiada kemalangan atau kejadian tidak diingini dilaporkan sepanjang operasi dijalankan.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya khususnya pemandu kenderaan berat dinasihatkan supaya mengelakkan laluan berkenaan dan sentiasa mematuhi langkah keselamatan demi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Oleh Adi Safarman




