DARO, 15 November: Pelajar luar bandar mempunyai potensi untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bersaing dengan pelajar sekolah lain sekiranya melakukan persediaan rapi serta memiliki disiplin yang tinggi.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, latar belakang tempat tinggal bukan penghalang kepada pelajar untuk melakar kejayaan, sebaliknya kesungguhan, pengorbanan dan komitmen terhadap pembelajaran menjadi antara faktor penting dalam menentukan pencapaian mereka.
Katanya, calon SPM 2026 perlu menggunakan masa yang masih ada untuk memperkukuh penguasaan mata pelajaran, mengenal pasti kelemahan dan meningkatkan persediaan sebelum menghadapi peperiksaan.
“Saya percaya, dengan semangat yang tinggi dan persediaan yang rapi, anak-anak SMK Semop mampu mencapai keputusan SPM yang membanggakan.
“Buktikan bahawa anak-anak dari Semop juga mampu mencipta kejayaan dan bersaing dengan murid-murid dari sekolah lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pensijilan dan Anugerah Kecemerlangan Kali Ke-9 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semop pada semalam.
Katanya, SPM bukan sekadar peperiksaan untuk mendapatkan sijil, malah merupakan antara laluan penting yang membuka peluang kepada pelajar melanjutkan pengajian, mengikuti latihan kemahiran atau menceburi bidang kerjaya.
Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan pelajar Tingkatan 5 supaya tidak mensia-siakan peluang yang ada, selain menjadikan cabaran sepanjang tempoh pembelajaran sebagai dorongan untuk memperbaiki diri.
Tambahnya, kejayaan tidak datang dengan mudah kerana memerlukan usaha berterusan, kesabaran dan kesediaan untuk menghadapi kesukaran.
“Saya ingin berpesan kepada kalian agar tidak mensia-siakan peluang dan masa yang masih ada.
“Gunakanlah setiap detik untuk memperkukuh persediaan, memperbaiki kelemahan dan meningkatkan penguasaan dalam setiap mata pelajaran.
“Ingatlah bahawa kejayaan tidak datang bergolek. Ia menuntut disiplin, pengorbanan, kesungguhan dan doa yang berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, Yusuf menegaskan bahawa kecemerlangan seseorang pelajar tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata.
Ujarnya, pendekatan pendidikan yang menyeluruh penting bagi melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berpengetahuan, malah berakhlak dan mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat.
“Kecemerlangan seseorang murid tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata.
“Sebaliknya, kecemerlangan yang sebenar perlu dilihat secara menyeluruh, merangkumi aspek akademik, sahsiah, disiplin, kepimpinan, kokurikulum serta pembentukan nilai-nilai murni,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan pelajar yang belum menerima sebarang anugerah supaya tidak berasa kecewa kerana setiap individu mempunyai kelebihan dan potensi tersendiri.
Katanya, pengiktirafan yang diberikan pada majlis tersebut seharusnya menjadi pemangkin kepada penerima anugerah untuk meningkatkan pencapaian, manakala pelajar lain perlu terus berusaha tanpa berputus asa.
“Kepada murid-murid yang belum berpeluang menerima sebarang anugerah, janganlah berasa kecewa atau menganggap diri kalian kurang berjaya.
“Setiap individu mempunyai kelebihan dan potensi yang tersendiri. Teruskan berusaha kerana kejayaan bukanlah milik mereka yang tidak pernah gagal, tetapi milik mereka yang tidak pernah berhenti mencuba,” ujarnya.
Mengulas peranan warga pendidik, Yusuf berkata, kejayaan sesebuah sekolah tidak dapat dipisahkan daripada pengorbanan guru yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membimbing pelajar membentuk sahsiah dan nilai kehidupan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga SMK Semop atas komitmen mereka dalam melaksanakan tanggungjawab pendidikan sepanjang tahun ini.
Justeru itu, katanya, kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat amat diperlukan bagi memastikan pembangunan pendidikan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Yusuf berharap SMK Semop terus menjadikan kecemerlangan sebagai budaya berterusan, bukan sekadar sasaran ketika menghadapi peperiksaan atau menerima pengiktirafan.
Beliau turut menggalakkan seluruh warga sekolah supaya menjadikan pencapaian sedia ada sebagai dorongan untuk meningkatkan mutu pendidikan dan melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran serta berdaya saing.
Oleh Earl Anek




