SIBU, 15 November: Masalah disiplin, pergaduhan dan kejadian jenayah dalam kalangan pelajar perlu ditangani secara serius menerusi kerjasama pihak sekolah, guru dan ibu bapa.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, perkembangan itu membimbangkan kerana generasi muda merupakan bakal pemimpin yang akan menentukan masa depan negara.
Menurutnya, pihak sekolah tidak boleh memandang ringan sebarang insiden pergaduhan kerana tindakan tidak terkawal boleh mengakibatkan akibat lebih buruk.
“Ibu bapa juga perlu memainkan peranan membimbing anak-anak menyelesaikan perselisihan secara rasional,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Pemantapan Pengurusan Kadet Remaja Sekolah (KRS) 2026 di salah sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.
Tiong berkata, guru besar, para guru dan pihak pengurusan sekolah perlu lebih peka terhadap tingkah laku pelajar serta mengenal pasti punca yang mendorong berlakunya masalah disiplin.

“Pembentukan generasi muda bukan hanya bergantung kepada pendidikan akademik, tetapi turut memerlukan penekanan terhadap disiplin, integriti dan tanggungjawab,” katanya.
Tiong turut mencadangkan kursus pemantapan KRS diadakan dua hingga tiga kali setahun bagi memperkukuh disiplin, kepimpinan dan jati diri anggota.
“Kursus ini perlu memberikan pendedahan mengenai jenayah, keselamatan dan peranan pasukan pertahanan negara,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, anggota KRS perlu membuktikan bahawa mereka mampu menjadi contoh kepada masyarakat, selaras dengan matlamat melahirkan generasi muda yang berkualiti.
“Saya mahu KRS Sibu membuktikan slogan ‘KRS Sibu Terbaik’ menerusi pencapaian dan prestasi sebenar,” katanya.
Pada majlis tersebut, Tiong mengumumkan sokongan RM25,000 bagi membantu penganjuran program KRS akan datang.
Turut hadir ialah Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan daripada Business Event Sarawak, Donny Tan Yee, Pengasas KRS Malaysia, Kolonel Ahmad Farazila Abdul Gahni, Timbalan Ketua Pegawai Pendidikan KRS Daerah Sibu, Jeremy Ling Beng Ley Komandan KRS SK Sacred Heart (M), merangkap Pegawai Tadbir KRS Daerah Sibu dan Ketua Penyelaras Kursus Pemantapan Pengurusan KRS Peringkat Negeri Sarawak 2026, Sylvastine Gelau Sylvanus Jengan.
Oleh Akun Giman




