

KUCHING: Mcdonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan dalam membantu mangsa banjir baru-baru ini.
Menteri Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada Mcdonald’s cawangan Kuching dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia di atas sumbangan yang telah dihulurkan kepada petugas barisan hadapan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak McDonald’s cawangan Kuching di atas sumbangan ini, McDonald’s sebelum ini telah menyampaikan sumbangan makanan bukan hari ini sahaja tetapi mereka telah menyumbangkan makanan kepada mangsa banjir dan petugas barisan hadapan sebelum ini.
“Terima kasih dan tahniah kami ucapkan, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Menyantuni Para Petugas Barisan Hadapan Kebajikan bahagian Kuching oleh McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald’s Malaysia di ruang legar, Majma Mall, di sini, semalam.
Fatimah berkata, Sarawak yang berada di tengah-tengah antara Semenanjung Malaysia, Indonesia (Kalimantan) dan Sabah yang mana bilangan jumlah kes positif covid-19 yang banyak diibaratkan seperti dikelilingi bulatan api.
“Disebabkan kita (Sarawak) berada di tengah-tengah ada pihak mengelarkan Sarawak dikelilingi dengan bulatan api sebab bilangan kes covid-19 yang besar, dengan sebab itu kita harus mengambil langkah untuk memastikan bilangan kes positif covid-19 di Sarawak ini dapat dikawal supaya bilangan wabak pademik ini tidak meningkat sama seperti jiran kita.
“Jadi dengan itu, pelbagai langkah telah diadakan oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) iaitu dengan memastikan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 dapat disaring, yang positif terus dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut dan kontak yang dikenalpasti di tempatkan di pusat kuarantin.
“Justeru, kita berharap agar dapat menjejaki kontak langsung dan tidak langsung kepada kes Covid-19 ini supaya kita dapat jalankan ujian swab dan terus putuskan rantaian Covid-19 agar ia tidak menular di dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, petugas barisan hadapan yang menerima sumbangan itu terdiri daripada Pejabat Residen Kuching, Pejabat Daerah Kuching, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching, Sukarelawan Kebajikan Bahagian Kuching, Angkatan Penyelamat Malaysia Bahagian Kuching dan Angkatan Tentera Malaysia.
Sebanyak 180 set sumbangan makanan telah disumbangakan kepada petugas barisan hadapan pada program tersebut.
Oleh JEAKQLEYN YACHO