Taiwan siap sedia hadapi Taufan Champi, aktiviti harian terjejas

Facebook
WhatsApp
AKTIVITI harian di sebahagian besar Taiwan dihentikan pada Jumaat sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi Taufan Champi yang dijangka membawa hujan lebat dan angin kencang.

ISTANBUL, 23 Oktober: Taiwan pada Khamis mengarahkan hampir semua aktiviti dihentikan pada Jumaat sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi Taufan Champi, lapor Anadolu Ajansi yang memetik sebuah stesen penyiaran tempatan.

Menurut stesen penyiaran TVBS, sesi persekolahan dan aktiviti pekerjaan digantung sepanjang Jumaat di 20 daripada 22 daerah dan bandar, manakala syarikat penerbangan membatalkan penerbangan domestik serta 40 penerbangan antarabangsa.

Bagaimanapun, aktiviti harian di Daerah Kinmen, gugusan pulau berhampiran pantai Fujian, China, serta sebahagian besar Daerah Taitung di tenggara Taiwan akan berjalan seperti biasa pada Jumaat kerana kawasan berkenaan berada di luar zon utama yang dijangka terjejas akibat taufan itu.

Champi, yang kini diturunkan kategori kepada taufan sederhana dijangka berada paling hampir dengan Taiwan sekitar 2.00 pagi Sabtu (1800 GMT Jumaat).

Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan tidak menolak kemungkinan taufan itu akan melanda daratan.

Agensi berkenaan memberi amaran bahawa kesan paling kuat dijangka berlaku mulai Jumaat hingga pagi Sabtu, sebelum keadaan cuaca beransur pulih pada petang Sabtu.

Setakat petang Khamis, Champi berada kira-kira 450 kilometer di timur Eluanbi, kawasan paling selatan Taiwan dan bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 18 kilometer sejam.

Amaran hujan lebat turut dikeluarkan bagi beberapa kawasan, dengan hujan dijangka semakin lebat mulai petang Khamis hingga pagi Sabtu. – Bernama-Anadolu