PKS Sibu perlu bersedia rebut peluang ekonomi SEZ

Facebook
WhatsApp
PENGARAH Urusan Caliphs Digital Group Sdn Bhd, Ts. Abg Fairul Syarmil Abg Mohd.

SIBU, 23 Oktober: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sibu perlu memperkukuh keupayaan perniagaan dari sekarang bagi memastikan mereka bersedia merebut peluang ekonomi yang bakal diwujudkan menerusi Zon Ekonomi Sibu (SEZ).

Pengarah Urusan Caliphs Digital Group Sdn Bhd, Ts. Abg Fairul Syarmil Abg Mohd berkata, kejayaan SEZ bukan hanya bergantung pada jumlah pelaburan yang berjaya ditarik masuk, tetapi juga keupayaan perniagaan tempatan untuk menyertai rantaian ekonomi yang bakal berkembang hasil pelaksanaan inisiatif berkenaan.

“Kita tidak mahu apabila peluang besar tiba, syarikat tempatan hanya menjadi pemerhati kerana tidak bersedia,” katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.

Beliau berkata, kemasukan pelaburan baharu berpotensi membuka ruang kepada PKS untuk terlibat sebagai pembekal, penyedia perkhidmatan dan rakan niaga kepada syarikat yang beroperasi dalam ekosistem ekonomi berkenaan.

Menurutnya, sektor makanan, logistik dan pelancongan mempunyai potensi besar untuk berkembang, mengambil kira kedudukan strategik Sibu di tengah Sarawak yang boleh dimanfaatkan sebagai hab pengedaran, pemprosesan dan perdagangan makanan, termasuk aktiviti import dan eksport.

Selain itu, katanya, Sungai Rajang juga berpotensi dimanfaatkan untuk merancakkan sektor pelancongan, rekreasi dan kegiatan ekonomi di kawasan pesisir sungai, sekali gus membuka peluang perniagaan baharu kepada masyarakat setempat.

Abg Fairul Syarmil berkata, sektor teknologi digital turut berpotensi berkembang seiring dengan keperluan industri, khususnya melalui penggunaan automasi, kecerdasan buatan (AI) dan sistem pengurusan perniagaan bagi meningkatkan kecekapan operasi.

Bagi merebut peluang berkenaan, beliau berkata, PKS perlu mula membuat persediaan dari sekarang dengan memperkukuh aspek modal, kemahiran tenaga kerja, penggunaan teknologi dan kapasiti operasi bagi memenuhi keperluan pasaran yang semakin kompetitif.

Menurutnya, penggunaan AI dalam pemasaran, khidmat pelanggan, pengurusan inventori dan operasi harian dapat membantu peniaga meningkatkan produktiviti serta mengawal kos, sekali gus membolehkan mereka mengurus perniagaan dengan lebih cekap.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha memperkukuh daya saing PKS perlu disokong oleh kemudahan logistik, infrastruktur yang mencukupi dan premis perniagaan pada kadar mampu milik supaya pertumbuhan ekonomi tidak membebankan pengusaha tempatan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan memperkenalkan program pembangunan vendor tempatan yang merangkumi latihan, bantuan modal, pensijilan industri dan padanan perniagaan dengan pelabur baharu bagi membuka lebih banyak peluang kepada PKS untuk menyertai rantaian bekalan SEZ.

Beliau turut mencadangkan pewujudan platform digital yang telus untuk memaparkan peluang projek, perolehan dan keperluan pembekal di bawah SEZ, sekali gus memudahkan syarikat tempatan mengenal pasti peluang serta membuat persediaan untuk menyertainya.

Menurutnya, akses kepada pembiayaan dan peluang menyertai projek berskala besar perlu diberi perhatian supaya PKS berpotensi dapat meningkatkan kapasiti operasi dan bersaing dengan syarikat yang mempunyai sumber lebih besar.

Mengulas persaingan yang mungkin timbul susulan kemasukan pelabur baharu, Abg Fairul Syarmil berkata perkembangan itu perlu dilihat sebagai peluang untuk mendorong peniaga tempatan meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan serta memperkukuh kedudukan masing-masing dalam pasaran.

Beliau berkata usahawan Sibu juga perlu mengubah cara berfikir dengan meluaskan sasaran pasaran melangkaui kawasan tempatan, selain memanfaatkan teknologi digital untuk membina rangkaian pelanggan yang lebih besar.

“Usahawan Sibu perlu mula berfikir secara global dan tidak lagi mengehadkan pasaran mereka kepada kawasan tempatan sahaja,” katanya.

Beliau berkata perniagaan yang beroperasi dari Sibu berupaya bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa sekiranya pengusaha bersedia meningkatkan kemahiran, menguasai teknologi serta menyesuaikan strategi perniagaan dengan perubahan pasaran.

Mengulas keutamaan yang perlu diberikan bagi memastikan PKS tempatan tidak terpinggir, beliau berkata mekanisme pembiayaan dan peluang menyertai projek berskala besar perlu diperkukuh bagi membantu syarikat tempatan meningkatkan keupayaan masing-masing.

Abg Fairul Syarmil berharap SEZ bukan sahaja berjaya menarik pelaburan besar ke Sibu, tetapi turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan syarikat tempatan sehingga mampu berkembang menjadi pemain industri utama pada masa hadapan.

Beliau berkata usaha memperkukuh keupayaan PKS dan menyediakan mekanisme sokongan yang bersesuaian penting bagi memastikan manfaat pembangunan ekonomi itu dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh komuniti perniagaan tempatan.

Oleh Tarani Lanting