Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Guru kekal relevan meskipun AI berkembang pesat
  • PENDIDIKAN

Guru kekal relevan meskipun AI berkembang pesat

Utusan Sarawak 8 hours ago
SELAMAT HARI GURU…. Ling (tujuh kiri), Lau (lima kanan) bersama para guru sekolah dan lembaga pengurusan SJK (C) Nang Kiang memotong kek sambutan Hari Guru.

SIBU: Peranan guru sebagai pembimbing emosi dan pembentuk masa depan negara kekal relevan walaupun dunia pendidikan kini berdepan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI).

Guru Besar SJK (C) Nang Kiang, Ling Kui Leong berkata, guru cemerlang bukan sahaja berperanan sebagai penyampai ilmu, malah turut menjadi pendamping emosi kepada pelajar.

Menurutnya, etika profesional dan semangat pendidikan yang dimiliki guru tidak mampu digantikan oleh teknologi.

“Jika negara adalah sebuah organisma, maka pendidikan adalah darahnya dan guru ialah degupan jantung yang menggerakkan darah tersebut.

“Setiap pengajaran yang dicurahkan dengan penuh dedikasi di dalam bilik darjah menentukan rentak dan daya hidup masa depan Malaysia,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Guru sekolah itu, semalam.

Beliau berkata, para guru perlu terus mengejar kecemerlangan dengan menyesuaikan diri terhadap penggunaan alat pengajaran digital dan kaedah pembelajaran inovatif supaya proses pembelajaran menjadi lebih menarik serta berkesan.

Katanya, pembentukan sahsiah pelajar juga perlu diberi perhatian termasuk memupuk rasa hormat terhadap kepelbagaian budaya dan semangat patriotisme seiring pencapaian akademik.

Beliau berharap semua guru terus menjunjung semangat ‘Bitara’ dengan berani menyahut peluang baharu serta aktif menguasai alat pengajaran digital.

“Mengenai kerjasama daripada lembaga pengurusan sekolah, kami berharap mereka akan terus memberi bimbingan dan sokongan agar kita dapat bersama-sama membawa sekolah ke tahap lebih tinggi.

“Semua orang melihat usaha keras para guru dan pencapaian anda terpahat dalam hati para pelajar,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan warga pendidik supaya sentiasa menjaga kesihatan kerana guru merupakan tonggak keluarga serta khazanah sekolah.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengurusan SJK (C) Nang Kiang, Albert Lau memuji dedikasi dan pengorbanan para guru sambil menyifatkan profesion perguruan sebagai kerjaya biasa tetapi mulia.

Katanya, guru-guru di sekolah tersebut sentiasa komited dalam mendidik murid dan sanggup meluangkan masa panjang untuk membimbing mereka dalam aspek akademik serta peribadi.

Tambahnya, lembaga pengurusan akan terus menyokong pembangunan sekolah melalui penambahbaikan kemudahan, peningkatan kebajikan guru serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk warga sekolah.

Oleh Akun Giman

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Setiap permohonan pertukaran, penempatan guru perlu ambil kira aspek kemanusiaan – Omar Mahli
Next: AZAM Sarawak, Kolej Laila Taib perkukuh agenda pembangunan belia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.