SIBU: Ujian saringan secara pandu lalu yang dibuka di Pustaka Negeri Sarawak, Sibu mulai 2.00 petang semalam mendapat sambutan baik daripada penduduk bandar ini.
Ujian saringan secara pandu lalu di Pustaka Negeri Sarawak, Sibu dibuka setiap hari mulai Isnin hingga Sabtu dari 8.00 pagi hingga 4.00 petang.
Ujian secara calitan atau ‘swab test’ pandu lalu itu secara langsung memberi kemudahan kepada orang awam di Sibu.
Ia amat mudah, melalui kaedah saringan pandu lalu, orang ramai tidak perlu turun dari kenderaan untuk berurusan di kaunter seperti kebiasaannya dan dibuat secara percuma untuk semua lapisan masyarakat di Sibu.
Tinjauan petang semalam mendapati orang ramai beratur dengan kenderaan bersusun panjang menunggu giliran masing-masing.
Dalam pada itu, pasukan pertugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertungkus- lumus memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai yang datang.
Begitu juga pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan dibantu oleh anggota pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengawal keadaan di pusat pandu lalu tersebut.
Dalam pada itu, Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam, Dr. Annuar Rapaee menerusi Facebook memohon orang ramai supaya bersabar menunggu giliran masing-masing kerana laluan ke Pustaka Sibu sesak dan berbaris panjang ketika ini.
“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada warga Sibu kerana memberi kerjasama baik dengan tampil melakukan saringan.
“Kita teruskan berdoa agar barisan hadapan kita diberi kekuatan dan Covid-19 dapat dibendung di Sibu,” jelasnya.
Terdahulu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu menerusi kenyataannya memberitahu, Pusat Saringan di foyer, Stadium Tertutup Sibu masih beroperasi seperti biasa untuk saringan secara “walk in”.
Oleh AKUN GIMAN