24,936 banduan dibebaskan melalui PBSL, atasi kesesakan penjara

Facebook
WhatsApp
MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni sempena sambutan Deepavali di Kampung Paya Besar, Lunas semalam. Foto Bernama

KULIM, 22 November: Seramai 24,936 banduan dibebaskan menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sebagai usaha mengurangkan kesesakan penjara di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata inisiatif itu merupakan antara pendekatan yang dilaksanakan Jabatan Penjara susulan keadaan kapasiti penjara yang tidak mampu menampung jumlah penghuni ketika ini.

“Jabatan Penjara menguruskan 41 institusi penjara dengan jumlah penghuni mencecah kira-kira 93,000 banduan, berbanding kapasiti keseluruhan sekitar 75,000 banduan.

“Sehingga Oktober tahun ini, seramai 24,936 banduan terbabit dalam pelaksanaan PBSL,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni sempena sambutan Deepavali di Kampung Paya Besar, Lunas, semalam.

Beliau berkata selain PBSL, Jabatan Penjara turut melaksanakan program parol dan Orang Diselia Industri (ODI) bagi membantu proses pemulihan banduan serta mengurangkan tekanan terhadap kapasiti penjara.

“Sehingga Oktober tahun ini, jumlah individu yang menjalani parol ialah seramai 3,899 orang. Dari perspektif mengurangkan kesesakan penjara, angka ini tentunya signifikan,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata menerusi program ODI, banduan yang layak ditempatkan untuk bekerja dengan majikan dalam pelbagai sektor termasuk pusat mencuci kenderaan, kilang pemasangan motosikal dan sektor perladangan.

“Majikan akan bayar melebihi gaji minimum, prospek (banduan) akan ada pendapatan selain berpeluang menyesuaikan diri dengan masyarakat sebelum dibebaskan sepenuhnya. Majikan pula tidak perlu terlalu bergantung pada pekerja asing daripada negara sumber,” katanya.

Katanya program berkenaan juga bertujuan mengurangkan risiko bekas banduan mengulangi kesalahan selepas tamat menjalani hukuman. – Bernama