
KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak akan mengadakan konvensyen melibatkan empat zon utama di seluruh negeri bermula Julai hingga September depan bagi memperkukuh organisasi dan jentera parti di peringkat akar umbi.
Setiausaha Agung PBB Sarawak merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, empat zon yang terlibat ialah zon selatan, zon Betong, zon tengah dan zon utara.
Menurut beliau, setiap zon akan dipengerusikan oleh pemimpin kanan parti bagi menyelaras perjalanan konvensyen tersebut.
“Zon selatan akan dipengerusikan oleh Datuk Amar Fadillah Yusof, zon Betong oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas, zon tengah oleh saya sendiri manakala zon utara dipengerusikan oleh Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PBB Sarawak kali ketiga yang dipengerusikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, hari ini.
Tambah beliau, tarikh pelaksanaan bagi setiap zon masih dalam peringkat penyelarasan dan akan diumumkan kemudian selepas mesyuarat khas yang dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas diadakan dalam masa terdekat.
Dato Sri Alexander turut memaklumkan tema rasmi konvensyen berkenaan belum dimuktamadkan dan akan diperincikan dalam mesyuarat penyelarasan nanti.
Menurutnya, konvensyen itu bukan sahaja menjadi medan memperkukuh perpaduan dan organisasi parti, malah turut dilihat sebagai persiapan menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk pilihan raya akan datang.
Oleh Shahrul Qaizat