
NIAH: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasakan pembangunan luar bandar bagi memastikan rakyat di setiap pelosok negeri menikmati pembangunan yang seimbang serta peningkatan taraf hidup yang lebih baik.
Kawasan Subis dikenal pasti sebagai antara kawasan luar bandar yang mempunyai potensi besar untuk terus berkembang maju menerusi pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata demikian pada Majlis Berjarah Aidilfitri Subis di Dewan Terbuka Sepupok malam tadi.

Katanya, dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, kerajaan memberi penekanan terhadap penyediaan kemudahan asas termasuk pembangunan jalan raya, bekalan air dan elektrik, kemudahan telekomunikasi, pendidikan serta perkhidmatan kesihatan.
“Usaha berterusan itu dilihat penting bagi memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan semasa, selain dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa dan berkualiti.
“Selain meningkatkan infrastruktur asas, pembangunan yang dibawa juga diyakini mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

“Akses jalan yang lebih baik, capaian internet yang semakin meluas serta kemudahan asas yang dipertingkatkan akan memberi ruang kepada rakyat untuk berniaga, mendapatkan pekerjaan dan meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II menambah, penduduk luar bandar turut disaran agar melihat setiap pembangunan yang dibawa sebagai satu peluang yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya demi masa depan komuniti dan generasi akan datang.
“Masyarakat juga digalakkan untuk menjadi peserta aktif dalam arus pembangunan dengan merebut peluang ekonomi, pendidikan dan kemahiran yang disediakan, sekali gus memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat setempat,” katanya.
Katanya, walaupun sambutan Aidilfitri telah lebih sebulan berlalu, namun semangat Aidilfitri masih terus mekar dalam kalangan masyarakat.
“Majlis seperti ini amat signifikan kerana bukan sahaja menjadi medan jamuan dan pertemuan, malah berperanan mengeratkan hubungan silaturahim, memperkukuhkan perpaduan serta menyatukan masyarakat pelbagai lapisan.
“Aidilfitri turut mengajar kita tentang pentingnya nilai kebersamaan, hormat-menghormati dan semangat saling membantu antara satu sama lain. Dalam suasana dunia yang semakin mencabar hari ini, nilai-nilai murni sebegini wajar terus dipupuk dan dipelihara demi keharmonian masyarakat,” tegas beliau lagi.
Hadir sama, Dato Dayang Morliah Awang Daud, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat dan Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni dan Pengerusi Majlis Penghulu Dr Wan Pauzi Wan Ahmad.
Oleh Adum Liu