
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memperkukuh kerjasama dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai persediaan untuk liputan Sukan SEA 2027 yang akan datang.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata Bernama sebagai institusi media berpengalaman di negara ini memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan keupayaan warga kerja UKAS terutamanya menerusi penganjuran program latihan, bengkel serta sesi perkongsian ilmu.
“Bernama mempunyai banyak pengalaman dalam pelbagai aspek dan kita menghargai kerjasama untuk mengadakan program khusus bagi mempersiapkan bukan sahaja warga kerja UKAS tetapi wartawan di sini.
“Walaupun kita telah terdedah dengan pengalaman mengurus media di peringkat Sukan Malaysia (Sukma) 2024, namun Sukan SEA adalah medan yang berlainan dan memerlukan persediaan lebih rapi,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat daripada pengurusan tertinggi Bernama, di ibu pejabat UKAS, hari ini.
Kunjungan hormat daripada Bernama itu diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin yang turut disertai Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Biro Bernama Sarawak Ammar Syafiq Hamzah dan Timbalan Pengarah UKAS Mohamed Faizal Shah Ali.
Dalam pada itu, Abdullah berkata persediaan turut merangkumi penyediaan keperluan kemudahan untuk wartawan tempatan dan antarabangsa yang akan membuat liputan temasya berkenaan.
“Kita bukan hanya melihat kepada aspek pelaporan, tetapi juga logistik seperti pusat media, capaian internet, pengangkutan, penginapan serta kemudahan lain bagi memastikan kelancaran tugas wartawan,” katanya.
Sementara itu, Nur-ul Afida berkata kunjungan tersebut walaupun singkat, namun membuka ruang untuk mempererat hubungan sedia ada antara kedua-dua agensi.
Beliau turut menyatakan kesediaan Bernama untuk bekerjasama dengan UKAS dan kerajaan negeri dalam penganjuran temasya sukan akan datang termasuk Sukan Malaysia serta acara lain di Sarawak.
“Kunjungan ini memberi peluang untuk kami menyuarakan hasrat memperkukuh hubungan antara Bernama dan UKAS. Kami percaya Bernama mempunyai kepakaran dalam bidang kewartawanan termasuk liputan acara besar seperti yang telah dilaksanakan semasa Sukma di Sarawak sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata pengalaman Bernama sebagai pengendali pusat media antarabangsa ketika acara serantau seperti ASEAN serta beberapa acara utama negara turut menjadi nilai tambah dalam kerjasama berkenaan.- Bernama