KUALA LUMPUR, 17 Oktober: Nik Nazmi Nik Ahmad direhatkan daripada semua aktiviti rasmi Parti Bersama (Bersama) selama tiga bulan, berkuat kuasa 20 Oktober ini hingga 19 Januari 2027.
Presiden Bersama, Syukri Razab berkata, tindakan itu diambil susulan pengakuan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu berhubung penglibatannya dalam satu kes yang tersebar baru-baru ini.
“Bersama memandang serius perkembangan ini dan berpendirian bahawa setiap isu yang melibatkan kepimpinan serta anggota parti perlu ditangani dengan sewajarnya demi memelihara integriti, kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap parti,” katanya.
Beliau berkata, keputusan berkenaan perlu dan munasabah, tanpa menafikan sumbangan serta komitmen Nik Nazmi terhadap perjuangan Bersama sejak parti itu dilancarkan semula pada Mei lepas.
Terdahulu, Nik Nazmi mengesahkan bahawa beliau merupakan salah seorang daripada dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas dakwaan berkhalwat di Petaling Jaya, Khamis lepas.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama dalam sebarang proses perundangan.
Sebelum itu, JAIS mengesahkan penahanan dua individu, termasuk seorang figura awam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali. – Bernama





