PUTRAJAYA, 17 Oktober: Seramai 6,724 pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) daripada pelbagai skim perkhidmatan diluluskan pemangkuan dan kenaikan pangkat ke Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) serta gred 10 hingga 15 oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam (LKPPA) pada 13 Oktober lepas.
KKM dalam kenyataan hari ini berkata kelulusan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk menghargai komitmen, dedikasi dan pencapaian pegawai dalam memastikan kelancaran operasi serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“Selaras dengan penambahbaikan laluan kemajuan kerjaya di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), LKPPA turut meluluskan Kriteria Kecemerlangan Kenaikan Pangkat Tanpa Kekosongan Jawatan bagi Skim Perkhidmatan Pengajar KKM.
“Kelulusan ini memberi peluang kepada pegawai yang terlibat untuk menikmati laluan kemajuan kerjaya yang lebih baik,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, KKM turut merakamkan penghargaan atas jasa dan pengorbanan empat pegawainya yang berkhidmat sebagai anggota Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) dan maut dalam nahas helikopter ketika menjalankan tugas pada 8 September lepas.
Sebagai tanda penghargaan atas jasa dan khidmat bakti mereka, keempat-empat pegawai berkenaan diluluskan kenaikan pangkat secara anumerta.
“KKM percaya pengiktirafan seperti ini akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan serta memperkukuh semangat pegawai KKM untuk bersama-sama merealisasikan aspirasi sistem kesihatan negara yang berkualiti, mampan dan responsif,” menurut kenyataan itu.
KKM juga akan terus meneliti dan melaksanakan langkah penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan serta pembangunan kerjaya pegawainya sentiasa diberi perhatian sewajarnya. – Bernama





