KUCHING, 17 Oktober: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin mampu mengekalkan sekurang-kurangnya majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, dengan pemilihan calon baharu termasuk golongan muda dan wanita turut diberi perhatian.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, GPS akan menghadapi PRN sebagai satu gabungan dengan keyakinan untuk mengekalkan sokongan rakyat, namun setiap kerusi yang dipertandingkan tetap perlu diberi perhatian.
“Kami sangat yakin dapat mengekalkan sekurang-kurangnya majoriti dua pertiga, malah mungkin tiga perempat daripada kerusi seperti pilihan raya sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran e-buku cerita rakyat dan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Penulisan Cerita Rakyat Sarawak DayakDaily 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, setiap kerusi perlu diberi perhatian sama rata tanpa menganggap mana-mana kawasan sebagai selamat kerana pengundi berhak mendapat wakil rakyat yang mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Parti juga perlu menilai isu di peringkat akar umbi, termasuk prestasi penyandang, bagi menentukan sama ada pertukaran calon diperlukan pada PRN akan datang.
“Dalam setiap pilihan raya, mesti ada sejumlah calon yang diganti. Jika tiada pertukaran, ia mungkin tidak memberi gambaran yang baik kepada parti atau GPS,” ujarnya.
Beliau berkata, pemilihan calon baharu juga perlu mengambil kira penyertaan wanita dan golongan muda bagi memastikan kesinambungan kepimpinan parti pada masa hadapan.
Menurutnya, wanita mempunyai keupayaan untuk memegang tanggungjawab kepimpinan berdasarkan prestasi yang ditunjukkan dalam pelbagai bidang, termasuk dalam kementerian yang diterajuinya.
Jelasnya, keputusan akhir mengenai barisan calon yang akan diketengahkan pada PRN kelak terletak pada pertimbangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kepimpinan parti.
Dalam pada itu, Abdul Karim menegaskan bahawa keyakinan terhadap sokongan rakyat tidak seharusnya menyebabkan GPS mengambil mudah persaingan di mana-mana kawasan, sebaliknya setiap calon perlu berusaha mendapatkan kepercayaan pengundi.
“Keputusan pilihan raya tetap terletak pada rakyat, manakala GPS berharap dapat memperoleh sokongan besar pada PRN akan datang,” katanya.
Oleh Adele Rissa





