BEKENU, 17 Oktober: Jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) diingatkan supaya tidak terlalu memikirkan pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dicadangkan, sebaliknya memberikan tumpuan kepada usaha meraih kemenangan menerusi sokongan dan undi popular pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Naib Ketua Pergerakan Wanita PBB, Datuk Rosey Yunus berkata, kerusi baharu yang dicadangkan itu belum dapat digunakan pada PRN akan datang, justeru persiapan menghadapi pilihan raya perlu diberikan keutamaan.
Menurutnya, persiapan tersebut termasuk memperkukuh jentera parti serta memastikan setiap anggota memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing.
“Jangan terlalu memikirkan kerusi baharu yang dicadangkan kerana ia belum dapat digunakan pada PRN Sarawak ke-13.
“Sebaliknya, tumpuan utama ketika ini perlu diberikan kepada usaha mendapatkan kemenangan dengan meraih undi popular,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Latihan Petugas Tempat Mengundi dan Pengiraan Undi (PACA) bagi ahli parti komponen GPS di Dewan Masyarakat Bekenu, hari ini.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata, anggota parti tidak seharusnya terlalu leka membincangkan kemungkinan pertambahan kerusi DUN, sebaliknya perlu memberikan perhatian kepada usaha mendapatkan sokongan rakyat bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Beliau turut menekankan kepentingan latihan PACA bagi memastikan petugas pilihan raya memiliki pengetahuan, disiplin dan kesiapsiagaan untuk menjalankan tugas dengan berkesan sepanjang proses pengundian serta pengiraan undi.
Menurutnya, PACA merujuk kepada ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi yang bertanggungjawab memantau perjalanan proses pilihan raya bagi pihak parti atau calon yang diwakili.
“Antara tanggungjawab utama mereka ialah memastikan proses pengundian berlangsung mengikut prosedur yang ditetapkan, memerhatikan pematuhan peraturan di tempat mengundi serta menyalurkan maklumat kepada penyelia atau pusat gerakan parti sekiranya timbul sebarang isu yang memerlukan perhatian.
“Ejen tempat mengundi perlu memahami tatacara pengendalian pengundian, termasuk proses pengesahan pengundi dan penggunaan kertas undi, selain memastikan sebarang perkara yang mencurigakan dilaporkan melalui saluran yang betul tanpa mengganggu perjalanan pengundian,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, ejen mengira undi perlu mengikuti proses pengiraan dengan teliti, memerhatikan pengendalian kertas undi serta merekodkan keputusan yang diumumkan mengikut prosedur bagi membantu memastikan ketepatan dan ketelusan keputusan pilihan raya.
“Petugas PACA juga perlu mengamalkan sikap profesional, mematuhi arahan pegawai pilihan raya, menjaga kerahsiaan undi dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan atau mengganggu pengundi.
“Keberkesanan jentera PACA bukan sahaja bergantung pada jumlah petugas yang ditempatkan, tetapi juga tahap kefahaman mereka terhadap peraturan, ketelitian ketika menjalankan tugas serta keupayaan bertindak secara tenang dan berdisiplin,” katanya.
Sehubungan itu, Rosey berharap latihan berkenaan dapat meningkatkan kesiapsiagaan ahli parti komponen GPS serta memperkukuh kerjasama antara petugas bagi memastikan proses pilihan raya dapat dipantau secara teratur, telus dan mengikut undang-undang.
Oleh Adum Liu




