SARATOK, 17 Oktober: Umat Islam diingatkan supaya tidak menjadikan majlis khatam al-Quran sebagai pengakhiran pembelajaran, sebaliknya sebagai permulaan untuk terus memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran kitab suci itu dalam kehidupan seharian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, berkata al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca, tetapi juga panduan hidup yang membimbing umat Islam menghadapi pelbagai cabaran serta membentuk keperibadian dan akhlak mulia.
Menurutnya, ajaran al-Quran sentiasa relevan sepanjang zaman kerana merangkumi panduan berkaitan akidah, ibadah, akhlak, kekeluargaan dan kehidupan bermasyarakat.
“Janganlah kita berhenti setakat berjaya mengkhatamkan al-Quran. Teruskan membaca walaupun hanya beberapa ayat setiap hari, pelajari maknanya dan berusahalah mengamalkan ajarannya sedikit demi sedikit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khatam al-Quran Bahagian Betong anjuran Unit Saudara Kita (USK) Cawangan Saratok 2026 Masihi bersamaan 1448 Hijrah di Masjid Al Muhtadin, hari ini.
Mohamad Duri berkata, kecintaan terhadap al-Quran perlu diterjemahkan melalui perubahan sikap, peningkatan akhlak serta kesungguhan melaksanakan perintah Allah SWT, bukan sekadar melalui bacaan dan hafalan.
Katanya, ajaran al-Quran, termasuk tuntutan supaya umat Islam bersikap jujur, menyayangi keluarga dan membantu golongan yang memerlukan, perlu dibuktikan melalui tindakan dalam kehidupan seharian.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sebenar seseorang tidak seharusnya diukur berdasarkan kekayaan, pangkat atau kedudukan semata-mata, sebaliknya perlu berlandaskan keimanan kepada Allah SWT dan diterjemahkan melalui amalan soleh.

Mengulas mengenai saudara baharu, Mohamad Duri berkata, proses mendalami Islam merupakan perjalanan pembelajaran dan pembaikan diri yang berterusan. Justeru, mereka tidak perlu berasa rendah diri sekiranya masih dalam proses mempelajari asas agama.
Beliau menggalakkan saudara baharu supaya memperkukuh akidah, mempelajari cara menunaikan solat dengan betul, memahami rukun Islam dan rukun iman serta mendapatkan bimbingan daripada guru agama yang dipercayai.
“Jangan biarkan kekurangan pengetahuan pada hari ini menghalang usaha kita untuk menjadi Muslim yang lebih baik pada hari esok. Jika tersilap, perbaikilah dan jika berhadapan dengan kesukaran, carilah bimbingan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Duri berkata, nilai yang terkandung dalam al-Quran turut menyokong aspirasi pembangunan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang berteraskan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, prinsip keadilan, sikap saling membantu dan sikap saling menghormati penting bagi memastikan saudara baharu mendapat perhatian, peluang serta ruang untuk memperkukuh kefahaman agama dan menyumbang kepada pembangunan negeri.
Beliau berkata, umat Islam juga perlu menjadikan ilmu, kemahiran, kejujuran dan etika kerja yang baik sebagai asas untuk meningkatkan taraf kehidupan, selain memelihara alam sekitar sebagai amanah untuk generasi akan datang.
Mohamad Duri menegaskan bahawa pembangunan negeri bukan sekadar diukur melalui kemajuan fizikal dan pertumbuhan ekonomi, tetapi turut bergantung pada pembentukan masyarakat yang beriman, berilmu, berakhlak serta bertanggungjawab terhadap keluarga dan komuniti.
Beliau berharap saudara baharu terus meningkatkan penghayatan Islam dan menjadi anggota masyarakat yang produktif, sekali gus membantu mengekalkan keharmonian serta menyumbang kepada kemajuan Sarawak.
“Apabila pembangunan negeri disertai nilai keimanan, amanah dan perpaduan, kita mampu membina Sarawak yang bukan sahaja maju menjelang 2030, tetapi juga harmoni dan sejahtera untuk generasi seterusnya,” katanya.
Oleh Adi Safarman




