Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • RM1.5 bilion pacu 473 projek BDDA, 130 siap tunjuk kemajuan pesat Betong
  • WILAYAH

RM1.5 bilion pacu 473 projek BDDA, 130 siap tunjuk kemajuan pesat Betong

Utusan Sarawak 7 hours ago
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Riveria Sport Centre Debak, semalam. Foto JKR Sarawak

DEBAK: Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan 473 projek pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dengan 130 daripadanya telah siap sepenuhnya, sekali gus memperlihatkan kemajuan ketara yang sedang dicapai di Bahagian Betong.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pencapaian tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan luar bandar secara menyeluruh dan inklusif.

Menurut beliau, pelaksanaan ratusan projek itu bukan sahaja meningkatkan kemudahan asas, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat setempat, khususnya dalam sektor pertanian moden, pendidikan teknikal dan pelancongan.

Dalam masa sama, beliau menggesa rakyat di Bahagian Betong untuk terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi memastikan kesinambungan pembangunan dapat diteruskan.

Katanya, di bawah pentadbiran Abang Johari, kerajaan Sarawak berjaya meningkatkan hasil negeri sekali gus membolehkan pelbagai inisiatif kebajikan diperkenalkan untuk manfaat rakyat.

Antara inisiatif tersebut termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), diskaun 25 peratus bil elektrik serta potongan 50 peratus kepada peniaga kecil yang memberi kelegaan kepada golongan sasar di seluruh negeri.

“Premier Sarawak tahu bagaimana untuk meningkatkan hasil negeri dan memulangkannya kepada rakyat melalui dasar serta program yang inklusif dan berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Debak, semalam.

Mengulas lanjut, Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata antara projek berimpak tinggi di bawah BDDA termasuk pembangunan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling bernilai RM280 juta serta Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Betong yang bakal menawarkan kursus berkaitan penerbangan dan teknologi dron.

Selain itu, pembangunan Bebuling Agropark yang melibatkan empat syarikat peneraju dan 70 ekar rumah hijau dijangka merancakkan sektor pertanian moden di kawasan tersebut.

Beliau turut berkata pembangunan replika kubu pahlawan Rentap mampu memberi impak positif kepada sektor pelancongan, sekali gus meningkatkan ekonomi komuniti setempat.

Dalam pada itu, Uggah menyifatkan Abang Johari sebagai pemimpin inklusif yang memahami keperluan rakyat di bandar dan luar bandar serta memainkan peranan penting dalam mempercepat pembangunan infrastruktur di Sarawak.

Beliau turut membangkitkan beberapa keperluan rakyat termasuk menaik taraf sistem bekalan elektrik, memperluas liputan telekomunikasi serta membangunkan perumahan mampu milik di Jalan Lidong.

Menurutnya, usaha tersebut penting bagi memastikan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas menikmati kemudahan asas yang setanding dengan kawasan lain, sejajar dengan agenda pembangunan kerajaan negeri.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Abdul Rahman Junaidi serta Ahli Parlimen, Dato Dr Betong Richard Rapu.

Oleh Adi Safarman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Program derma darah sempena Peringatan Hari Polis ke-219 dapat sambutan
Next: 14 tahun menabur bakti, Persatuan Alumni Polis Sarawak disaran teroka bidang komersial

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.