PETRA JAYA, 21 Oktober: Petroleum Sarawak Berhad (Petros) merancang menggerudi 10 telaga penerokaan minyak dan gas darat dengan anggaran pelaburan RM500 juta di beberapa kawasan di Sarawak.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, rancangan itu dibuat susulan pengenalpastian sembilan kawasan berpotensi untuk penerokaan minyak dan gas oleh Petros.
“Aktiviti penggerudian itu dirancang bermula di Balingian, Limbang-Lawas, Marudi dan Niah menggunakan teknologi termaju bagi mengenal pasti rizab minyak dan gas baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pembangunan sektor minyak dan gas terus menjadi antara komponen penting ekonomi Sarawak, khususnya dalam memperluas penggunaan gas dan menggalakkan pembangunan industri hiliran.
“Sehubungan itu, Miri, Samalaju, Bintulu dan Kuching telah dikenal pasti sebagai hab pembangunan utama di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak bagi memperkukuh jaminan tenaga serta mengembangkan industri hiliran,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Petros bersama Petra Energy berjaya memulakan pengeluaran minyak di Adong Kechil West pada tahun ini, sekali gus menandakan kebangkitan semula pengeluaran petroleum darat Sarawak selepas hampir 50 tahun.
“Perkembangan sektor minyak dan gas itu dijangka membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan dalam bidang kejuruteraan, fabrikasi, penyelenggaraan, logistik dan perkhidmatan khusus.
“Keutamaan kerajaan adalah untuk memaksimumkan nilai ekonomi sumber minyak dan gas Sarawak, di samping memastikan penyertaan industri tempatan, pemindahan teknologi dan manfaat jangka panjang kepada rakyat negeri ini,” ujarnya.
Untuk rekod, pada 22 Julai lalu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan Petros telah memulakan pengeluaran minyak di medan Adong Kechil West berhampiran Marudi dengan pengeluaran awal kira-kira 800 tong sehari atau 24,000 tong sebulan.
Pengeluaran yang dilaksanakan bersama Petra Energy itu menandakan kembalinya pengeluaran minyak darat di Sarawak selepas lebih lima dekad.
Sebelum itu, Petros dan Petra Energy memulakan operasi penggerudian di Blok SK433 pada Oktober 2023 sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan semula sumber petroleum darat negeri ini.
Oleh Masrin Affirah




