OKU Sarawak dipersiap ke Abilympics Finland 2027 menerusi empat bidang kemahiran

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Fatimah Abdullah ketika sidang media persiapan peserta OKU Sarawak menyertai Abilympics Antarabangsa 2027 di Finland, di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA, 21 Oktober: Sarawak mempersiapkan peserta orang kurang upaya (OKU) dalam empat bidang kemahiran bagi merebut peluang mewakili Malaysia pada Abilympics Antarabangsa 2027 di Finland.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, empat bidang yang diberi tumpuan ialah gubahan bunga, reka bentuk poster, refleksologi dan fotografi.

Katanya, persediaan itu dilaksanakan menerusi bimbingan dan kerjasama dengan pusat latihan serta pihak berkemahiran dalam bidang masing-masing bagi meningkatkan keupayaan peserta untuk melayakkan diri ke pertandingan berkenaan.

“Dalam empat bidang ini, sebagai persiapan mereka untuk Abilympics di Finland 2027, mereka telah mendapat bimbingan daripada pihak yang mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing.

DATO Sri Fatimah Abdullah menerima lukisan potret dirinya hasil karya seorang individu orang kurang upaya (OKU) pada majlis penyerahan geran Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak kepada Persatuan Pembangunan Kemahiran Orang Kurang Upaya Sarawak (SOSDA) di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya.

“Kita berharap mereka mendapat bimbingan terbaik supaya dapat melayakkan diri mewakili Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penyerahan geran Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak kepada Persatuan Pembangunan Kemahiran Orang Kurang Upaya Sarawak (SOSDA) di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, seorang peserta Sarawak sudah memperoleh satu slot dalam kategori gubahan bunga, manakala usaha diteruskan bagi mempersiapkan peserta dalam bidang lain.

Menurutnya, latihan bagi gubahan bunga dilaksanakan dengan bimbingan Pretty Petals, manakala peserta reka bentuk poster bekerjasama dengan GIATMARA Stampin. Bagi fotografi dan refleksologi pula, latihan turut melibatkan pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

DATO Sri Fatimah Abdullah menyerahkan geran Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak kepada Presiden Persatuan Pembangunan Kemahiran Orang Kurang Upaya Sarawak (SOSDA), Dunstan Lim, di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya. 

Fatimah berkata, pembangunan kemahiran merupakan antara pendekatan penting untuk memperkasakan golongan OKU kerana kemahiran yang diperoleh boleh membantu mereka menjana pendapatan dan menjalani kehidupan secara berdikari.

Katanya, usaha memperkasakan OKU tidak seharusnya terhad kepada bidang sukan seperti Para Sukma, Paralimpik, Deaflympics dan Special Olympics, sebaliknya perlu diperluas kepada bidang kemahiran yang bersesuaian dengan bakat serta potensi individu.

“Golongan OKU mempunyai bakat tersendiri. Apa yang penting ialah memberi mereka peluang untuk mengembangkan potensi dan menunjukkan kebolehan sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya.

Beliau berkata, peluang turut perlu diberikan kepada OKU yang mempunyai kebolehan dalam bidang kraftangan, lukisan dan bidang lain supaya bakat mereka dapat dikembangkan serta dimanfaatkan.

Dalam pada itu, Fatimah memuji usaha SOSDA membantu ahlinya mendapatkan pekerjaan melalui pemadanan pekerjaan berdasarkan kelayakan pendidikan dan kemahiran yang dimiliki.

Menurutnya, kerjasama dengan pusat latihan dan pihak industri dapat membantu memastikan OKU memperoleh bimbingan berkualiti, sekali gus meningkatkan peluang mereka mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

Beliau berharap inisiatif itu dapat memperluas peluang kepada golongan OKU untuk mengembangkan kemahiran, menjana pendapatan sendiri dan membina kehidupan yang lebih berdikari.

Oleh Afiq Sallehi