Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • 12 Pelajar SM Katolik Sibu terima insentif berjumlah RM3,900
  • PENDIDIKAN

12 Pelajar SM Katolik Sibu terima insentif berjumlah RM3,900

Utusan Sarawak 7 hours ago
TAHNIAH…Chieng (enam kiri), Pengetua SM Katolik Sibu Anthony Tay (lima kiri) merakam kenangan bersama para pelajar yang menerima insentif kecemerlangan SPM.

SIBU: Seramai 12 pelajar Sekolah Menengah (SM) Katolik Sibu menerima insentif berjumlah RM3,900 sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan mereka dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek menyampaikan insentif tersebut dalam satu majlis yang berlangsung di dewan sekolah, hari ini.

Chieng berkata, kejayaan yang diraih para pelajar bukanlah sesuatu yang datang secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan, disiplin serta komitmen tinggi dalam pelajaran.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja menghargai pencapaian anda, malah menjadi dorongan untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang akademik,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Beliau turut menekankan keunikan sistem pendidikan di sekolah tersebut yang menawarkan dua laluan iaitu SPM dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sekali gus memberi kelebihan kepada pelajar dalam merancang masa depan mereka.

Menurutnya, sistem pendidikan dua aliran itu bukan sahaja memperkukuh asas akademik, tetapi turut membuka lebih banyak peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sama ada di dalam atau luar negara.

Beliau mengingatkan pelajar agar memberi perhatian serius terhadap SPM walaupun turut mengambil UEC.

“Keputusan cemerlang dalam SPM mampu mencerminkan kualiti pendidikan sekolah menengah persendirian Cina kepada masyarakat umum,” ujarnya.

Chieng turut berkongsi perkembangan terkini berkaitan inisiatif kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang akan melaksanakan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) bermula 2026.

Katanya, pelajar yang melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Kolej Universiti i-CATS berpeluang menikmati pengecualian yuran pengajian sepenuhnya termasuk dalam bidang seperti perubatan, undang-undang dan STEM.

Tambahnya, peluang tersebut turut terbuka kepada pelajar sekolah menengah persendirian Cina yang memenuhi syarat kelayakan.

Chieng turut memaklumkan bahawa ramai pelajar telah mula menerima tawaran kemasukan universiti selepas keputusan UEC diumumkan, sekali gus membuktikan peluang sentiasa tersedia bagi mereka yang berusaha.

Sehubungan itu, beliau menyeru para pelajar agar menghargai masa di sekolah, terus berusaha mempertingkatkan diri serta berani mengejar impian.

“Gunakan ilmu sebagai asas untuk membina masa depan dan jadilah individu yang mampu memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Oleh Akun Giman

Continue Reading

Previous: 384 graduan dirai pada majlis penyampaian Sijil Program Pemasaran Digital Strategik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.