Kolej IBS membantu pelajar membuat persediaan untuk peperiksaan SPM

Facebook
WhatsApp
SOKONGAN PENDIDIKAN… Sebastian Ting bersama peserta Bengkel SPM Final Sprint: Perniagaan dan Perakaunan 2026 yang berlangsung di IBS College, Miri baru-baru ini.

MIRI, 19 Oktober: IBS College meneruskan komitmennya membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi penganjuran Bengkel SPM Final Sprint: Perniagaan dan Perakaunan 2026 secara percuma bagi tahun ketiga berturut-turut.

Bengkel yang berlangsung di IBS College, Miri baru-baru ini menghimpunkan kira-kira 150 pelajar daripada lebih 10 sekolah, termasuk dari kawasan Subis, bagi memperkukuh pemahaman dalam mata pelajaran Perniagaan dan Perakaunan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen IBS College dalam menyediakan peluang pendidikan kepada generasi muda tanpa mengira latar belakang.

Menurutnya, pendidikan merupakan antara pelaburan terpenting untuk generasi muda, justeru setiap pelajar wajar diberikan peluang meningkatkan kemampuan diri dan mencapai potensi masing-masing.

“Kejayaan bukan sekadar bergantung pada usaha menghafal segala-galanya. Anda perlu memahami konsep, membaca soalan dengan teliti, mengaplikasikan pengetahuan serta mengurus masa dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan bengkel berkenaan di IBS College, Miri baru-baru ini.

Sehubungan itu, Sebastian menggalakkan pelajar memanfaatkan sepenuhnya bengkel tersebut dengan memberikan perhatian terhadap penerangan tenaga pengajar, mengemukakan soalan serta mempraktikkan teknik menjawab peperiksaan yang dikongsikan.

Beliau turut menasihatkan pelajar supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan dengan soalan sukar atau melakukan kesilapan, sebaliknya menjadikan pengalaman itu sebagai pengajaran untuk terus memperbaiki pencapaian diri.

Dalam pada itu, Sebastian merakamkan penghargaan kepada pengetua dan guru yang memberikan komitmen membawa pelajar menyertai bengkel berkenaan.

Katanya, penglibatan pihak sekolah memperlihatkan kesungguhan para pendidik dalam membantu pelajar meningkatkan pencapaian akademik.

Beliau berharap kerjasama antara IBS College, pihak sekolah dan komuniti terus diperkukuh bagi membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada generasi muda.

Oleh Connie Chieng