DUN: Pengambilan FTES meningkat 128.5 peratus pada 2026

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Roland Sagah Wee Inn dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini. Foto Ukas

PETRA JAYA, 19 Oktober: Pengambilan pelajar bagi 64 kursus di bawah Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) meningkat 128.5 peratus kepada 3,491 pelajar pada 2026 berbanding 1,528 pelajar pada 2025.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, peningkatan sebanyak 1,963 pelajar itu menunjukkan perkembangan positif dalam akses kepada pendidikan tinggi di Sarawak.

“Kursus yang ditawarkan merangkumi pelbagai bidang yang menyokong keutamaan ekonomi strategik Sarawak, termasuk ekonomi hidrogen, pertanian jitu, pembangunan pusat data dan industri aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Roland berkata, setakat 30 September 2026, seramai 6,246 pelajar telah menerima tawaran FTES di empat institusi pengajian tinggi milik Sarawak.

Jumlah itu merangkumi 2,802 pelajar 2,802 pelajar di Kampus Sarawak, Universiti Teknologi Swinburne, 2,031 pelajar di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), 949 pelajar di Universiti Curtin Malaysia dan 464 pelajar di Kolej Universiti i-CATS.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak turut menyediakan elaun tahunan RM15,000 kepada pelajar yang layak daripada keluarga berpendapatan rendah bagi membantu menampung kos sara hidup dan penginapan.

“Setakat ini, seramai 3,195 pelajar daripada mereka yang menerima tawaran FTES layak mendapat elaun berkenaan,” ujarnya.

Tegasnya, kementerian kekal komited meneruskan pelaksanaan FTES bagi memastikan anak Sarawak yang layak mendapat akses kepada pendidikan tinggi berkualiti tanpa dibebani yuran pengajian.

Oleh Adele Rissa