JAKKSA sumbang Smart TV, pencetak dan rak buku untuk SK Batu Lintang

Facebook
WhatsApp
GERALD menyampaikan sumbangan peralatan pendidikan berupa sebuah Smart TV, pencetak dan rak buku untuk SK Batu Lintang, Undop. Foto JAKKSA

SRI AMAN, 20 Oktober: Seramai 62 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang, Undop, bakal menikmati pengalaman pembelajaran lebih menarik dan interaktif menerusi sumbangan peralatan pendidikan berupa sebuah televisyen pintar (Smart TV), pencetak dan rak buku daripada Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman (JAKKSA).

Sumbangan tersebut memperlihatkan komitmen JAKKSA dalam menyokong pembangunan pendidikan di kawasan luar bandar, khususnya dalam usaha memastikan murid mendapat akses kepada kemudahan pembelajaran yang lebih baik seiring perkembangan teknologi masa kini.

Pengerusi JAKKSA, Gerald Empaling, yang mengetuai delegasi berkenaan, menyampaikan sendiri sumbangan itu kepada pihak sekolah dalam satu kunjungan dekat sini semalam.

Ketibaan delegasi JAKKSA disambut mesra oleh Guru Besar SK Batu Lintang, Morris Abang Jenang, bersama barisan guru yang turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan organisasi berkenaan terhadap keperluan pendidikan murid di sekolah itu.

Gerald, yang juga seorang peguam, berkata teknologi kini memainkan peranan semakin penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran, termasuk di sekolah-sekolah luar bandar.

“Pendidikan ialah asas kepada masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita. Dalam dunia yang berkembang pesat hari ini, teknologi bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya menjadi keperluan penting dalam pengajaran dan pembelajaran,” katanya  ketika menyampaikan sumbangan itu semalam.

Beliau berharap sumbangan Smart TV, pencetak dan rak buku itu dapat membantu guru menyampaikan pelajaran dengan lebih berkesan, selain mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik dan produktif kepada 62 murid sekolah berkenaan.

Menurutnya, murid di kawasan luar bandar juga berhak menikmati peluang dan kemudahan pendidikan moden yang setanding dengan rakan sebaya mereka di kawasan bandar.

“Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang yang adil untuk berjaya tanpa mengira sama ada mereka bersekolah di bandar atau di kampung. 

“Kadangkala, sumbangan yang kelihatan kecil mampu membawa perubahan besar terhadap pendidikan dan masa depan seseorang anak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Gerald turut memuji dedikasi Guru Besar dan barisan guru SK Batu Lintang yang terus komited mendidik serta membimbing generasi muda walaupun berdepan pelbagai cabaran yang lazimnya dihadapi sekolah luar bandar.

Beliau menegaskan bahawa peranan JAKKSA bukan sekadar tertumpu kepada aspek kesihatan dan bantuan kebajikan, malah merangkumi sokongan terhadap pendidikan serta pembangunan modal insan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Sebagai sebuah organisasi komuniti, tanggungjawab kita bukan hanya membantu apabila masyarakat menghadapi kesusahan, tetapi turut melabur dalam masa depan generasi muda. 

“Pendidikan ialah antara pelaburan paling bermakna kerana manfaatnya dapat dinikmati sehingga generasi akan datang,” katanya.

Gerald turut berharap kerjasama antara JAKKSA, pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat dapat terus diperkukuh bagi mengenal pasti keperluan yang memerlukan perhatian serta bantuan pada masa hadapan.

Beliau menambah bahawa setiap kanak-kanak dan sekolah wajar diberikan perhatian sewajarnya agar tiada murid yang ketinggalan hanya disebabkan lokasi atau latar belakang mereka.

Inisiatif berkenaan memperlihatkan usaha berterusan JAKKSA dalam memperkasa kebajikan masyarakat, meningkatkan mutu pendidikan dan membantu memperbaiki kualiti hidup komuniti luar bandar di Sri Aman.

Melalui kerjasama erat antara sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan masyarakat, JAKKSA berharap lebih banyak inisiatif dapat dilaksanakan bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta membuka peluang lebih luas kepada generasi muda untuk mencapai kejayaan.

Oleh Adi Safarman