Yusry mahu cabar diri bawa watak gangster

Facebook
WhatsApp
DATUK Yusry Abdul Halim berhasrat mencabar diri dengan membawakan watak gangster yang lebih kompleks dalam lakonan pada masa akan datang. Foto Agensi

KUALA LUMPUR, 20 Oktober: Sinonim dengan watak lelaki budiman dan romantis sejak awal pembabitannya dalam dunia lakonan, Datuk Yusry Abdul Halim menzahirkan keinginan untuk memegang watak gangster yang lebih kompleks.

Diperkenalkan ke dunia layar perak menerusi filem Awas! lebih tiga dekad lalu, ahli trio adik-beradik terkenal KRU itu berkata beliau tertarik untuk membawakan watak antagonis yang ganas tetapi mempunyai latar belakang dan konflik tersendiri.

“Saya sebenarnya tak pernah dapat watak yang ganas-ganas sedikit, seperti gangster. Saya selalu dapat watak yang baik-baik sahaja. Kalau boleh, nak dapat jugalah satu watak yang bukan nak jahat semata-mata, tetapi ada karakter yang buat kita faham kenapa watak itu jahat,” katanya kepada Bernama.

Ditemui selepas menjadi tetamu dalam program Cerita Pop terbitan Bernama Radio semalam, Yusry, 53, berkata pada masa sama beliau perlu mengambil kira faktor usia serta anak-anak yang kian membesar dalam memilih sesuatu watak.

“Saya tak boleh buat (sesuatu) watak suka-suka sahaja, nanti anak-anak tengok (tonton), seganlah saya dengan mereka,” katanya yang turut bersyukur masih mendapat tawaran menggalas watak utama biarpun sudah berusia lebih separuh abad.

Yusry berkata pertimbangan itu juga seiring dengan perubahan keutamaan hidupnya yang kini lebih menghargai masa bersama keluarga berbanding ketika usia muda yang banyak dihabiskan untuk membina nama dan mengejar populariti dalam industri hiburan.

“Jadi artis ini, tipulah kalau kita tak kejar populariti kerana itu memang kerja artis. Ketika muda saya dah rasa, dah puas buat benda itu. Biarlah yang (artis) muda-muda sekarang yang mengejar. Sekarang kalau boleh saya nak membesar bersama-sama mereka (anak), nak puas rasa menjadi seorang ayah.

“Pada saya, kerja bukan tak penting, tapi bila buat kerja itu juga, niat dengan ikhlas untuk cari rezeki,” kata anak kedua daripada empat beradik itu yang kini berpegang pada konsep memberi tumpuan hanya kepada satu pekerjaan pada satu-satu masa.

Berhubung pembabitannya sebagai pereka kandungan multimedia dan unjuran visual bagi pementasan Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLM) 2026, Yusry berkata visual kendaliannya merupakan kesinambungan kepada set fizikal yang direka oleh pengarah seni teater berkenaan bagi memastikan kesinambungan estetik yang utuh.

Menurutnya, tanggungjawab itu menuntut pendekatan kreatif yang berbeza daripada pembikinan filem memandangkan visual latar pementasan teater perlu diolah secara lebih abstrak dan simbolik, bukannya menggambarkan sesuatu secara literal.

“Sebuah teater muzikal tidak boleh menterjemahkan sesuatu secara literal. Kita perlu bekerja secara abstrak kerana pelakon di hadapan disokong oleh set fizikal yang geometrik dan unik, selari dengan bahasa visual yang ditetapkan oleh pengarah,” katanya.

Pementasan semula PGLM 2026 yang dibawakan oleh pasukan kreatif Enfiniti akan berlangsung di pusat persembahan baharu, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square, dari 31 Oktober hingga 15 November depan. – Bernama