

KUCHING: Seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan di bahagian bahu kanan selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipandunya terbabas sebelum terhumban ke dalam parit dalam kejadian kemalangan kendiri di hadapan Open University Malaysia (OUM) Universiti, Batu 9, Jalan Kuching-Serian, petang ini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung insiden itu diterima pada 4.38 petang.
“Pasukan tiba di lokasi pada 5.02 petang dan mendapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbabas ke bahu jalan sebelum terhumban ke dalam parit.
“Terdapat seorang mangsa lelaki dewasa mengalami kecederaan di bahu kanan namun tidak tersepit dan berjaya keluar sendiri dari kenderaan,” kata Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Shaiful Ismail Othman dalam sebuah kenyataan hari ini.
Mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Perubatan (EMRS) di lokasi kejadian.
“Mangsa tidak memerlukan operasi penyelamatan kerana tidak tersepit. Pasukan hanya memberikan rawatan awal serta menstabilkan keadaan sebelum mangsa memaklumkan akan mendapatkan bantuan ambulans sendiri,” katanya.
Oleh Adele Rissa