TANJUNG MANIS, 19 Oktober: Sebuah kereta Perodua Kenari dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori tangki jenis Isuzu dalam kemalangan yang meragut nyawa pemandunya di Jalan Bintangor/Tanjung Manis, Meradong pada pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi tersebut, pemandu Perodua Kenari berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pembantu Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Tanjung Manis.
Pemandu lori tangki berusia 51 tahun pula mengalami kecederaan dan dibawa menggunakan ambulans ke Klinik Kesihatan Tanjung Manis untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, siasatan awal mendapati kereta mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Tanjung Manis menuju ke Sibu, manakala lori tangki terbabit datang dari arah Bintangor menuju ke Tanjung Manis.
“Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa dari arah Tanjung Manis menuju ke Sibu telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori tangki yang datang dari arah Bintangor menuju ke Tanjung Manis.
“Akibat perlanggaran tersebut, kedua-dua kenderaan telah terbabas ke bahu kiri jalan menghala ke Sibu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, impak pertembungan tersebut menyebabkan pemandu Perodua Kenari dipercayai tercampak keluar daripada kereta sebelum ditemukan di dalam parit berhampiran lokasi kemalangan.
“Mangsa dipercayai tercampak keluar dari kereta dan ditemukan di dalam parit di bahu kiri jalan,” katanya.
Tansli berkata, mayat mangsa kemudian dibawa oleh pihak polis ke Hospital Sarikei untuk menjalani bedah siasat bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, mematuhi peraturan lalu lintas dan memberikan perhatian sepenuhnya ketika memandu bagi mengurangkan risiko kemalangan.
“Pihak polis menyeru orang ramai agar sentiasa memandu dengan berhemah, mematuhi peraturan lalu lintas serta memberikan tumpuan sepenuhnya ketika memandu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
“Pihak Ibu Pejabat Polis (IPD) Meradong turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan,” katanya.
Oleh Earl Anek





