MIRI: Dipaksa bekerja percuma. Itu nasib yang menimpa lapan wanita warga asing apabila dipergunakan sebagai pembantu rumah tanpa dibayar gaji oleh majikan mereka.
Namun penderitaan semua mangsa berumur antara 33 hingga 58 tahun itu berakhir apabila diselamatkan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah yang melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Da Sing di sini, sekitar 9.30 malam, semalam.
Difahamkan, beberapa wanita tersebut mendakwa hampir lima tahun tidak dibayar gaji oleh majikan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, semua wanita terbabit diselamatkan selepas pihaknya mendapat maklumat awam.
Katanya, pihaknya melakukan serbuan ke atas rumah berkenaan yang dijadikan tempat penginapan mangsa.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, didapati lapan wanita tersebut tidak mempunyai sebarang dokuman perjalanan.
“Mereka mendakwa dipaksa bekerja dan tidak dibayar gaji oleh majikan,” katanya dihubungi di sini.
Oleh Liong Chai Ling