
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Kesyukuran Aidilfitri Agensi-Agensi Islam Sarawak Tahun 1447H/2026M yang berlangsung di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, malam ini.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah pada 8.30 malam telah disambut oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri Dato Baduyah Bujang; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha serta tetamu kehormat yang lain.
Sejurus ketibaan, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah melawat ke 16 reruai yang dihias penuh warna-warni oleh agensi-agensi Islam yang bertemakan juadah makanan raya dari pelbagai negeri dan negara.

Dalam ucapan oleh Datuk Misnu Taha, beliau menzahirkan penghargaan atas kehadiran Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah serta sokongan berterusan terhadap pembangunan dan pemerkasaan institusi Islam di negeri ini.
Beliau bersama semua rakan-rakan agensi Islam turut berbesar hari serta merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kerana buat julung kalinya Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah hadir ke majlis kesyukuran Aidilfitri yang dianjurkan oleh Majlis Islam Sarawak.
Kehadiran Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah bukan sahaja menambah seri majlis, malah menjadi sumber inspirasi dan semangat kepada seluruh warga agensi Islam di negeri ini untuk terus menabur khidmat bakti menegakkan syiar Islam di Sarawak.
Tun Wan Junaidi merakamkan penghargaan kepada Majlis Islam Sarawak atas penganjuran majlis yang diserikan pelbagai persembahan dan aktiviti yang mencerminkan semangat Aidilfitri dan perpaduan dalam kalangan agensi-agensi Islam Sarawak.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut menzahirkan kesyukuran atas majlis yang menjadi wadah kesepaduan dan komitmen berterusan agensi-agensi Islam Sarawak dalam memperkukuh ukhuwah serta menyemarakkan sambutan Aidilfitri di peringkat negeri.