PETRA JAYA, 21 Oktober: Bebuling STOLport di Spaoh, Betong yang dibangunkan dengan kos RM248 juta menyasarkan untuk memulakan perkhidmatan penumpang pada 2027, sekali gus memperkukuh hubungan udara antara Betong dengan Kuching, Sibu dan Miri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kemudahan itu telah siap dibangunkan dan menjalani penerbangan percubaan pada September lalu sebagai langkah penting ke arah kesiapsiagaan operasinya.
“Persediaan sedang dijalankan bagi memulakan perkhidmatan penumpang yang disasarkan pada 2027, menghubungkan Betong dengan Kuching, Sibu dan Miri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, selain mengangkut penumpang, STOLport itu dijangka menyokong penghantaran kargo pertanian, sekali gus membuka peluang kepada petani dan usahawan tempatan untuk memasarkan hasil mereka ke pasaran yang lebih luas.
Menurutnya, kerajaan negeri turut meneroka potensi penubuhan Akademi Penerbangan Centexs bagi menyediakan latihan dalam bidang penerbangan dan dron, sekali gus membuka peluang pembangunan kemahiran baharu kepada golongan belia Sarawak.
Penerbangan percubaan pertama di Bebuling STOLport dilaksanakan pada 18 September lalu, diikuti penerbangan kedua pada 26 September bagi menilai kesiapsiagaan teknikal, operasi dan keselamatan sebelum kemudahan itu memulakan operasi sepenuhnya.
Pembangunan STOLport itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kesalinghubungan udara di kawasan luar bandar, selain menyokong kegiatan ekonomi setempat melalui pengangkutan penumpang dan hasil pertanian.
Oleh Adele Rissa




