DUN: Jambatan Batang Paloh dibuka 30 Oktober ini

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya di Kompleks DUN, hari ini. Foto Ukas

PETRA JAYA, 21 Oktober: Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer dijadualkan dibuka kepada lalu lintas pada 30 Oktober ini, menjadikan jumlah jambatan mega yang siap di Sarawak meningkat kepada 13 buah.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada 22 jambatan mega bernilai RM6.55 bilion yang dibangunkan di negeri ini, sebanyak 12 telah dibuka kepada orang awam sejak November 2024.

JAMBATAN Batang Paloh dijadualkan dibuka kepada lalu lintas pada 30 Oktober 2026. Foto Ukas

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Muara Lassa yang telah siap akan meningkatkan hubungan jalan raya bagi penduduk Pulau Bruit, termasuk akses ke Daro, Tanjung Manis, Sarikei dan rangkaian Jalan Pesisir.

Sementara itu, Jambatan Batang Lupar 2 sepanjang 870 meter dijangka dibuka kepada lalu lintas pada November ini. Jambatan yang mempunyai menara setinggi 145.5 meter itu merupakan sebahagian daripada Jalan Utama Kedua.

JAMBATAN Muara Lassa yang telah siap membantu meningkatkan akses jalan raya penduduk Pulau Bruit. Foto Ukas

Apabila dibuka, jarak perjalanan antara Sri Aman dengan Betong dijangka berkurangan daripada 73 kilometer kepada kira-kira 28 kilometer, manakala tempoh perjalanan dapat dipendekkan daripada satu jam kepada sekitar 25 minit.

Uggah berkata, Jambatan Batang Saribas 2 sepanjang 2.39 kilometer di kawasan Pusa, Bahagian Betong, disasarkan siap pada Disember ini, manakala Jambatan Sungai Limbang sepanjang 772.4 meter dijangka dibuka kepada orang awam dalam bulan yang sama.

JAMBATAN Batang Lupar 2 sepanjang 870 meter dijangka dibuka kepada pengguna pada November 2026. Foto Ukas

Jambatan Sungai Limbang dijangka memendekkan tempoh perjalanan sehingga satu jam 30 minit, selain berpotensi meningkatkan daya tarikan pelancongan di Limbang.

Menurutnya, setelah baki jambatan dan jalan penghubung siap, keseluruhan projek berkenaan dijangka menghapuskan sembilan lintasan feri, selain mengurangkan jarak perjalanan antara Kuching dengan Sibu daripada kira-kira 396 kilometer kepada 252 kilometer serta memendekkan tempoh perjalanan.

JAMBATAN Batang Saribas 2 sepanjang 2.39 kilometer di kawasan Pusa, Bahagian Betong, disasarkan siap pada Disember 2026. Foto Ukas

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 278 projek infrastruktur yang dibiayai kerajaan Sarawak, dengan nilai keseluruhan kira-kira RM34.96 bilion, sedang dilaksanakan di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, sebanyak 100 projek bernilai RM11.30 bilion telah siap, manakala 119 projek bernilai RM18.99 bilion sedang dalam pembinaan dan 59 projek lagi bernilai RM4.66 bilion berada pada peringkat prakontrak.

JAMBATAN Sungai Limbang sepanjang 772.4 meter dijangka dibuka kepada orang awam pada Disember 2026. Foto Ukas

Uggah berkata, rangkaian jalan raya berdaftar Sarawak turut berkembang daripada 32,241 kilometer pada Mei 2022 kepada 40,255 kilometer pada 2026, mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dan Persekutuan untuk meningkatkan hubungan jalan raya serta aksesibiliti.

Mengulas pembangunan infrastruktur utama negeri, beliau berkata, rangkaian Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua melibatkan pelaburan keseluruhan RM11 bilion dengan jajaran sepanjang 654.70 kilometer.

INFOGRAFIK status pelaksanaan 278 projek yang dibiayai kerajaan Sarawak bernilai kira-kira RM34.96 bilion, merangkumi 100 projek siap, 119 dalam pembinaan dan 59 pada peringkat prakontrak.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak pada hari kelapan Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.

Oleh Shikin Mahmud

Warga media Sarawak hargai insentif RM700

KUCHING, 21 Oktober: Pengamal media di Sarawak menyifatkan pemberian insentif sekali bayar sebanyak RM700 menerusi Belanjawan Sarawak 2027 sebagai pengiktirafan

Warga media Sarawak hargai insentif RM700

KUCHING, 21 Oktober: Pengamal media di Sarawak menyifatkan pemberian insentif sekali bayar sebanyak RM700 menerusi Belanjawan Sarawak 2027 sebagai pengiktirafan