KUCHING, 21 Oktober: Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii menggesa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak segera menubuhkan pasukan petugas khas bersama yang kekal bagi membanteras kegiatan perjudian dalam talian haram yang didakwa semakin berleluasa di negeri ini.
Beliau berkata, kegiatan itu bukan sahaja mengancam masa depan golongan muda dan institusi keluarga, malah turut menjejaskan keselamatan awam apabila dikaitkan dengan sindiket pinjaman wang haram, ugutan dan keganasan.
Menurutnya, usaha membanteras kegiatan berkenaan memerlukan tindakan penguatkuasaan yang tegas, bersepadu dan berterusan membabitkan pelbagai agensi, bukannya sekadar bergantung kepada operasi serbuan secara berkala.
Yii membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut mendedahkan kewujudan premis tambah nilai perjudian yang didakwa berselindung di sebalik operasi kedai serbaneka dan kedai kopi di Kuching.
Katanya, premis yang dikenali sebagai ‘kedai kuning’ kerana menggunakan papan tanda dan cat berwarna kuning didakwa berfungsi sebagai pusat tambah nilai kredit perjudian dalam talian.
“Apa yang bermula di Kuching kini telah merebak ke bandar dan kampung di seluruh negeri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyiasat premis terbabit, menyemak kelulusan lesen perniagaan serta mendedahkan hasil siasatan kepada orang ramai.
Yii berkata, kemudahan akses perjudian melalui telefon bimbit dan premis tambah nilai fizikal meningkatkan risiko golongan muda terjebak dalam ketagihan judi.
Beliau turut berkongsi satu kes membabitkan seorang lelaki muda yang mula berjudi selepas membeli kredit tambah nilai RM10 di sebuah premis berhampiran rumahnya.
Menurutnya, kemenangan awal RM50 mendorong lelaki itu terus berjudi sehingga mengalami kerugian besar dan menghabiskan pendapatannya.
Lelaki berkenaan kemudian didakwa ditawarkan pinjaman tanpa dokumentasi oleh individu yang mempunyai kaitan dengan rangkaian perjudian tersebut, menyebabkan hutang awal RM2,000 meningkat kepada RM50,000 dalam tempoh beberapa bulan.
Katanya, keluarga lelaki itu turut menerima ugutan, termasuk mesej ancaman terhadap ibunya, kunjungan ke tempat kerja serta tindakan menyimbah cat merah pada pintu hadapan rumah mereka.
Ibu bapanya akhirnya terpaksa menggunakan wang simpanan seumur hidup dan menjual tanah pusaka bagi melunaskan sebahagian hutang berkenaan.
Lebih membimbangkan, sindiket terbabit didakwa menawarkan pengurangan hutang sekiranya lelaki itu merekrut pemain baharu, sekali gus menjadikan mangsa sebagai ejen untuk menarik rakan dan saudara-mara menyertai kegiatan perjudian.
“Beginilah cara sindiket ini berkembang, dengan mengorbankan anak-anak kita, dan perkara ini sedang berlaku di seluruh Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Yii memberi amaran bahawa perjudian dalam talian haram bukan lagi sekadar masalah sosial, sebaliknya turut menjadi ancaman terhadap keselamatan awam.
Beliau merujuk kejadian serangan terhadap kedai serbaneka di Kuching dan Sri Aman pada 20 September lalu apabila objek yang dipercayai mengandungi bahan letupan atau mudah terbakar dibaling ke premis terbabit.
Menurutnya, polis percaya serangan itu berpunca daripada pertikaian perniagaan yang sebahagiannya dikaitkan dengan penjualan kredit tambah nilai perjudian, manakala bantuan Interpol sedang dimohon bagi mengesan suspek yang melarikan diri ke luar negara.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap pergaduhan kumpulan samseng di tempat awam yang didakwa berpunca daripada perebutan kawasan dan pertikaian berkaitan perjudian dalam talian haram.
Yii berkata, polis di Sarawak telah membuat hampir 5,000 tangkapan dan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat 1,477 laman sesawang antara 2022 hingga 2025.
Bagaimanapun, katanya, premis tambah nilai perjudian masih terus dibuka semula kerana kegiatan itu memberikan keuntungan lumayan kepada sindiket, sekali gus menjejaskan peniaga sah yang enggan menjual kredit perjudian.
Sambil menyambut baik komitmen kerajaan menggubal undang-undang khusus bagi membanteras perjudian haram serta pelaksanaan Op Dadu oleh PDRM, beliau mencadangkan penubuhan Pasukan Petugas Khas Persekutuan–Sarawak Mengenai Perjudian Dalam Talian berasaskan lima teras utama.
Teras pertama melibatkan kerjasama antara agensi melalui pasukan petugas yang dipengerusikan pada peringkat menteri, dengan penyertaan PDRM, Bank Negara Malaysia, MCMC, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kerajaan Sarawak serta PBT.
Teras kedua pula menekankan penubuhan unit D7 khusus yang disokong sel risikan tersendiri bagi memburu ketua sindiket dan kumpulan samseng yang melindungi kegiatan perjudian, bukan sekadar pekerja kaunter.
Teras ketiga memberi tumpuan kepada usaha menjejaki dan merampas aliran wang haram, termasuk membekukan akaun keldai yang dikaitkan dengan transaksi perjudian dan pinjaman haram serta menyita aset sindiket mengikut undang-undang pencegahan pengubahan wang haram.
Teras keempat pula melibatkan penutupan operasi haram secara kekal melalui pembatalan lesen, tindakan menyenaraihitamkan pemilik premis dan tuan tanah, pemotongan bekalan elektrik jika dibenarkan undang-undang serta penyekatan segera laman sesawang dan iklan perjudian.
Sementara itu, teras kelima memberi keutamaan kepada pencegahan dan pemulihan melalui saluran pelaporan sulit untuk ketua masyarakat, guru dan ibu bapa, program kesedaran di sekolah serta universiti, selain kaunseling ketagihan dan khidmat nasihat hutang termasuk kepada masyarakat luar bandar.
Yii berkata, pasukan petugas itu wajar diberikan asas perundangan yang kekal menerusi undang-undang perjudian yang bakal digubal, sebagaimana peranan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam menyelaraskan usaha membanteras penyalahgunaan dadah
“Setiap hari kita berlengah, semakin banyak keluarga terjerumus dalam hutang, semakin ramai anak muda terjebak dengan sindiket dan semakin banyak kawasan menjadi kurang selamat,” katanya.
“Anak-anak kita berhak membesar dalam komuniti yang selamat dan mewarisi masa depan yang tidak digadaikan akibat perjudian. Musuh yang beroperasi setiap hari mesti ditentang oleh pasukan yang bertindak setiap hari,” tegasnya.
Beliau menggesa kedua-dua kerajaan bertindak bersama sebelum kegiatan perjudian dalam talian haram membawa lebih banyak kemudaratan kepada keluarga dan masyarakat di seluruh Sarawak.
Oleh Connie Chieng



